BTS Media

Exco Terengganu ditahan SPRM kerana dakwaan salah guna kuasa

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan seorang ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Terengganu berhubung dakwaan salah guna kuasa.

Ahli Exco yang berusia lingkungan 60-an itu didakwa menyalahgunakan kedudukannya dengan mengarahkan supaya kedua-dua anaknya diambil bekerja di sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri.

Menurut sumber yang dipetik NST, suspek ditahan kira-kira pukul 11.15 pagi tadi ketika hadir ke pejabat SPRM di Kemaman untuk memberikan keterangan.

Sumber berkenaan memaklumkan bahawa siasatan awal mendapati kesalahan yang didakwa berlaku pada tahun 2018 dan 2020. Suspek yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Terengganu dipercayai menggunakan peranannya sebagai ahli Exco serta pengerusi lembaga sebuah syarikat bagi membolehkan anak-anaknya dilantik bekerja di dua anak syarikat berkaitan kerajaan negeri.

Pengarah SPRM Terengganu, Hazrul Shazreen Abd Yazid, mengesahkan penahanan tersebut dan memaklumkan bahawa kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Beliau berkata suspek akan didakwa di mahkamah dalam masa terdekat.

Seksyen 23 Akta SPRM 2009 memperuntukkan bahawa mana-mana pegawai badan awam yang menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan bagi diri sendiri, saudara-mara atau sekutu adalah melakukan suatu kesalahan.

Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

-BTSMedia.my

Leave a Comment