ATAS: Bunkface muncul dengan single Korang.
Oleh Khadijah Ibrahim
Bagi peminat yang tidak mengetahui kisah suka duka Bunkface yang mesra dengan irama muzik punk rock itu, jangan risau kerana dengan mendengar lagu Korang, sedikit sebanyak peminat boleh mengetahui sejarah perjalanan seni kumpulan yang diasaskan di Klang, Selangor itu.
Korang merupakan bahasa percakapan yang bermaksud engkau atau kamu itu lebih kurang ada persamaan dengan lagu Apa Khabar dendangan Joe Flizzow.
Joe menerusi lagu Apa Khabar mengimbas semula pembabitannya bersama Malique sewaktu Too Phat mula mengatur langkah mencipta nama.
Begitu juga dengan lagu Korang yang juga bercerita tentang perasaan anggota kumpulan Bunkface sewaktu mereka mula membabitkan diri dalam bidang seni daripada kumpulan indie kepada komersial.
“Lagu ini menceritakan mengenai permulaan perjalanan kami sebagai sebuah band yang bergerak secara “independent” sebagai Bunkface.
“Kami sangat menghargai pengalaman yang dilalui bersama-sama dengan peminat dan sahabat-sahabat rapat di sekeliling kami yang tidak pernah putus berdiri teguh di belakang Bunkface dan lagu ini adalah untuk korang semua.
“Semua orang ada memori, semua orang ada hati, semua orang ada orang tersayang, semua orang ada korang,” jelas Sam tentang maksud yang tersirat di sebalik bait lagu Korang.
Memandangkan lagu Korang kisah perjalanan seni Bunkface, untuk kali ini Sam tidak bekerja secara solo sewaktu menghasilkan lirik.
Sebaliknya dia berkongsi pengalaman menulis lirik bersama dengan Paan dan Youk.
Begitu juga dengan ciptaan lagu Korang, selain Sam, turut memberi idea ialah Paan, Youk, Epul Kuat, Izzy Mus, Shahir.
Lagu Korang dilancarkan pada 16 Mac lalu di seluruh platform digital rasmi Bunkface : https://bfan.link/korang
Manakala video muzik rasmi Korang pula dilancarkan pada 18t Mac 2022 di laman YouTube rasmi Bunkface: https://youtu.be/NurIb7CVBW4
-BTS Media