BTS Media

Lagu ‘Kamu Kamu’ bukan kisah Wani Kayrie

GAMBAR ATAS: Wani Kayrie muncul dengan single Kamu Kamu.

 

Oleh Khadijah Ibrahim

Selepas empat bulan tampil dengan single Jangan Terlepas Pandang yang merupakan runut bunyi untuk drama bersiri Dukun Diva, kini Wanie Kayrie kembali dengan lagu Kamu Kamu.

Kamu Kamu merupakan lagu interpretasi daripada Wani yang mahu mencuba pelbagai genre muzik. Bagi Wani, dalam berkarya, dia mahu mencuba semuanya agar tak ada yang terlepas.

Penyanyi kelahiran Sandakan, Sabah yang berusia 22 tahun itu berkata, perjalanan seninya masih jauh dan banyak lagi yang dia ingin lakukan sebagai seorang pejuang seni.

Wani atau nama sebenarnya, Syazwani Maisarah Abdullah percaya, berkat kesabaran dan kerja keras yang berterusan pasti membuahkan hasil pada satu hari nanti.

Kamu Kamu merupakan lagu interpretasi daripada Wani Kayrie.

Menurut Wani, tiada masalah sewaktu rakaman di studio, malah proses rakaman lagu Kamu Kamu hanya mengambil masa lebih kurang dua jam saja. Ini kerana sebelum masuk studio, Wani terlebih dahulu membuat persiapan yang secukupnya.

“Ketika memasuki studio, saya telah mempersiapkan diri dari segi mental dan fizikal agar vokal dapat sampai seperti mana yang dimahukan oleh abang Zimi (Ziin) selaku komposer. Dia banyak memberi tunjuk ajar tentang teknik nyanyian yang sepatutnya untuk ‘menghidupkan’ lagu ini.

“Menurut penulis lirik, lagu Kamu Kamu bermaksud kerinduan seseorang terhadap pujaan hatinya yang tiada di depan mata, kesetiaan dalam menantikan kepulangan pujaan hatinya itu terbawa sehingga ke dalam mimpi. Namun dia terus berharap agar pujaan hatinya itu kembali padanya,” jelas Wani tentang maksud di sebalik lirik lagu Kamu Kamu yang ditulis oleh Jerry.

Tatkala ditanya, adakah lagu Kamu Kamu itu ada kena mengena dengan dirinya kerana sebelum ini Wani pernah dikait mempunyai hubungan rapat dengan penyanyi Afieq Shazwan.

“Eh taklah! Kami masih lagi berkawan, tapi tidak serapat dulu dan lagu ini tiada kena mengena dengan kisah peribadi saya,” katanya tegas.

Wani boleh dikatakan di antara penyanyi muda negara yang versatil, kalau pendengar amati melodi Kamu Kamu, elemen muzik pop dangdut jelas kedengaran dalam korusnya yang catchy dan mengasyikkan.

“Bagi saya, kepelbagaian itu sangat penting dalam memperkenalkan lagi kebolehan Wani Kayrie kepada orang ramai. Dan kalau ada jemputan untuk membuat persembahan pentas, saya sudah bersedia dengan portfolio yang pelbagai mengikut jenis acara,” terang Wani.

Dalam video muzik (MV) sebelumnya, Wani tampil dengan imej ‘garang’ dan serius, namun untuk MV Kamu Kamu konsepnya lebih bersahaja dan berbeza dengan menampilkan imej Wani yang lebih muda serta segar sesuai dengan usianya sekarang.

Wani Kayrie bukan setakat menyanyi, dia juga berlakon.

Wani berharap semua pendengar dapat menerima dengan baik lagu Kamu Kamu dan semoga lagu ini boleh menjadi tular atau mana tahu, sebuah fenomena dalam industri hiburan tanah air.

Sementara itu, Ketua Label & Penerbitan, Rocketfuel Entertainment, Erick Yew berkata, Wani adalah bintang Rocketfuel yang takkan mengaku kalah, jiwanya besar dalam bidang seni.

Erick pasti lagu Kamu Kamu dapat melonjakkan lagi nama Wani sebagai salah satu penyanyi di Malaysia yang wajar diberikan lebih perhatian.

Dalam berkarya, Wani Kayrie tidak pernah mengabaikan pengajiannya.

Lagu Kamu Kamu boleh dimuat turun di iTunes dan serta boleh didengar dan nikmati pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian popular seperti Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music dan juga YouTube Music.

Manakala MV single ini boleh ditonton secara eksklusif di saluran YouTube Rocketfuel Network.

-BTS Media

Leave a Comment