GAMBAR ATAS: Han-Byul selesa meneruskan kerjaya seninya di Malaysia.
Oleh Khadijah Ibrahim
Juara program Big Stage musim kedua, Han-Byul yang pernah muncul dengan single Luka Dan Bahagia, ciptaan Haqiem Rusli, kini tampil dengan lagu baharu Bukan Milikmu.
Lagu tersebut adalah ciptaan Hazama bersama Omar K, manakala lirik dihasilkan oleh Hazama, Omar K dan Han-Byul kerana lagu balada itu disampaikan dalam dwibahasa Melayu-Korea.
Menurut Han-Byul, idea untuk mencipta lagu tersebut tercetus pada tahun lepas sewaktu dia sedang menjalani penggambaran.
“Sebenarnya idea di sebalik pembikinan lagu ini tercetus ketika Hazama dan saya sedang melakukan penggambaran sebuah telemovie pada bulan Mei tahun lepas.
“Hazama ada menyatakan hasratnya untuk berkolaborasi dalam sebuah lagu, dan setelah mendengar beberapa demo, hati saya terus terpaut pada ciptaan bertajuk Bukan Milikmu,” jelas pemilik nama sebenar Jang Han-Byul.
Penyanyi kelahiran Korea Selatan itu baru sahaja selesai menjalani penggambaran drama bersiri ‘Lecturerku Oppa’ yang bakal bersiaran di WeTV iFlix.
“Lagu ini telah pun saya rakamkan pada tahun lepas, namun kerana pandemik Covid-19 yang melanda dunia telah membantutkan segala aktiviti termasuklah cabang seni, dan segala perancangan terpaksa ditunda.
“Selain itu, lagu ini tidak mengambil masa yang lama untuk dirakamkan, hanya sejam sahaja, manakala proses adunan dan mastering pula memakan masa selama dua minggu.
“Menariknya dalam lagu ini, saya turut menyelitkan beberapa bait lirik dalam Bahasa Korea yang disesuaikan dengan cara nyanyian ala Korea bagi menambah feel terhadap karya ini,” jelasnya tentang lagu terbitan Warner Music Malaysia itu.
Tambah Han-Byul, Bukan Milikmu adalah sebuah lagu sedih yang menceritakan tentang keinginan seorang lelaki yang mendambakan cinta daripada kekasihnya, namun perasaan itu diracuni oleh pelbagai emosi yang menyakitkan.
Mengimbas kembali pembabitannya dalam bidang seni, Han-Byul memberitahu yang dia sudah bergelar anak seni lebih sedekad lalu ketika pertama kali menjejakkan kaki di salah sebuah syarikat rakaman muzik yang terkenal di Korea Selatan.
“Ketika itu saya sedang bersiap sedia untuk memperkenalkan diri sebagai salah satu ahli kumpulan K-pop, Led Apple, pada tahun 2011, namun segala-segalanya berubah sehinggalah saya menjadi juara Big Stage 2019.
“Kini, Malaysia adalah rumah kedua saya kerana kebanyakan peminat saya adalah dari sini. Walaupun saya mempunyai peminat di serata dunia, hati saya tetap di sini kerana sokongan peminat Malaysia (Twinklers) sangat mengharukan, dan merekalah penyebab terbesar mengapa saya ingin mempelajari lebih banyak tentang bahasa Melayu, budaya dan segala-galanya.
“Kami (pihak pengurusan dan Han-Byul) masih lagi dalam proses perbincangan mengenai pembikinan video muziknya, semuanya bergantung terhadap sambutan dari peminat.
“Apa yang saya lakukan adalah kerana peminat dan sudah pastinya saya mahu berikan yang terbaik buat mereka dan bukannya ala kadar, kerana setiap yang dihasilkan adalah dari hati,” ujar Han-Byul.
Dia juga berharap peminat muzik di Malaysia dapat menerima Bukan Milikmu dan menyanyikannya bersama kerana impiannya mahu menghiburkan hati semua orang melalui muzik yang dihasilkan.
Lagu Bukan Milikmu boleh dimuat turun di iTunes dan boleh juga dijadikan sebagai nada dering panggilan menerusi ke semua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengar dan nikmati pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian seperti Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music dan juga YouTube Music.
-BTS Media