GRAFIK ATAS: BTS Media.
Oleh Khadijah Ibrahim
Setiap kali menjelang Syawal, pasti ada saja penyanyi yang tampil dengan lagu raya bagi memeriahkan suasana hari raya.
Pada tahun ini penyanyi Ernie Zakri yang baharu sahaja melahirkan anak sulung, Nur Khawla Soleha Syameel Aqmal, pada 22 Februari lalu tampil dengan track single raya berjudul Zapin Lebaran.
Zapin Lebaran merupakan hasil ciptaannya sendiri dengan penyanyi serta penggubah lagu berbakat, Yuka Kharisma dan diterbitkan oleh label hiburan Rocketfuel Entertainment.
“Alhamdulillah, perasaan gembira itu tidak dapat saya gambarkan dengan kata-kata apabila menimang cahaya mata pertama, saya juga turut merasa sedikit gementar kerana tidak sabar hendak membesarkan puteri sulung kami.
“Walaupun sekarang saya sedang fokus dengan anak, namun naluri seni saya terpanggil untuk merakamkan lagu raya baharu pada tahun ini,” kata pemenang vokal terbaik AJL ke-32 dan 35.
Menurut Ernie, ini merupakan single raya solo pertama baginya kerana sebelum ini dia tidak berkesempatan berbuat demikian.
“Sudah lama saya idamkan hendak merakamkan lagu raya sendiri, lalu saya mempelawa rakan pemuzik, Yuka Kharisma untuk turut serta dalam penghasilannya.
“Kami mengambil masa selama beberapa hari sahaja untuk mencipta lirik dan melodinya, manakala proses rakamannya pula dilakukan di rumah saya ketika masih lagi berpantang,” kongsi Ernie.
Zapin Lebaran mengangkat martabat irama tradisional Melayu asli berentak zapin yang diperindah lagi melalui alunan petikan gambus bagi mencetuskan nostalgia raya zaman dahulu.
Jelas Ernie, inspirasi untuk menciptakan lagu ini sangat mendalam kerana pandemik Covid-19 yang melanda mengakibatkan kita tidak dapat beraya bersama keluarga tercinta dan rakan taulan sejak sekian lama.
“Zapin Lebaran meraikan hari kemenangan kita sebagai umat Islam, bukan sahaja daripada menahan lapar dan dahaga, tetapi juga ujian daripada yang Maha Kuasa.
“Mungkin ada sinar harapan pada tahun ini apabila dapat merasa kembali suasana raya setelah beberapa tahun tidak dapat menjenguk keluarga yang berada jauh di kampung halaman,” katanya.
Namun, Aidilfitri bagi pasangan selebriti popular ini pastinya berbeza kerana ketiadaan ibu dan mentua tercinta.
“Walaupun sedih tanpa kehadiran ibu mentua, anak menjadi penyeri raya kami nanti, Syamel dan saya sangat rapat dengan keluarga, jadi perbezaan akan jelas terasa.
“Saya berharap semua dapat menikmati lagu ini dengan penuh kegembiraan setelah puas berkorban, dan semoga lagu ini sentiasa mekar menjadi di antara lagu-lagu raya yang malar segar.
Lagu Zapin Lebaran boleh dimuat turun daripada iTunes dan dijadikan nada dering panggilan menerusi ke semua syarikat telekomunikasi tempatan dan boleh didengar pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian utama seperti Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music dan juga YouTube Music.
Manakala video muzik single ini boleh ditontoni secara eksklusif di saluran YouTube Rocketfuel Network.
-BTS Media