Oleh Zainal AS Rashid
LEBUH raya menghala keluar dari lembah Klang dijangka sesak lagi menjelang akhir minggu ini apabila orang ramai bergerak pulang ke kampung halaman untuk menyambut Hari Raya Haji.
PLUS Malaysia (PLUS) menjangka kira-kira 1.9 juta kenderaan akan berada di lebuh raya setiap hari mulai hari ini hingga 12 Julai, memandangkan Hari Raya haji jatuh pada Ahad.
Ketua Pegawai Operasinya Zakaria Ahmad Zabidi dalam kenyataan pada Rabu (6 Jul) berkata dengan pertambahan kira-kira 100,000 kenderaan di lebuh raya setiap hari, PLUS meramalkan berlaku kesesakan dan masa perjalanan lebih panjang untuk tiba ke destinasi.
Pemandu diminta mematuhi Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) yang dikeluarkan PLUS bagi mengurangkan kesesakan trafik, dan juga merancang perjalanan mereka.
Menurut PLUS, TTA diwujud berdasarkan sejarah data trafik. Ia bertujuan untuk mengawal trafik dan mengelak kesesakan apabila kenderaan memasuki lebuh raya pada masa yang sama di laluan lebuh raya utama, plaza tol dan kawasan rehat.
Beliau berkata pengguna lebuh raya dari Lembah Klang menghala ke Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak (Utara) dan Johor (Kumpulan A) boleh memasuki lebuh raya sebelum pukul 10 pagi antara 7 hingga 10 Julai, manakala yang lain termasuk destinasi lebih dekat memasuki lebuh raya selepas pukul 1 tengah hari.
Bagi perjalanan pulang dari 10 hingga 12 Julai, pengguna dalam Kumpulan A dinasihatkan memasuki lebuh raya sebelum pukul 9 pagi.
Zakaria berkata berdasarkan kajian masa perjalanan boleh berganda jika pemandu memilih untuk tidak mematuhi jadual TTA.
Kemas kini trafik secara berkala boleh diperoleh melalui Twitter @PLUSTrafik, Aplikasi PLUS, talian bebas tol PLUSLine di 1800-88-0000, PUTRI Chatbot, pada papan tanda mesej elektronik (VMS) di sepanjang laluan utama lebuh raya dan juga pengumuman melalui radio.
Orang ramai juga disyor menggunakan Waze atau Google Maps untuk membantu merancang perjalanan mereka dengan lebih baik, selain memastikan agar mempunyai baki mencukupi dalam kad Touch ‘n Go atau eWallet untuk pembayaran tol.
-BTS Media