GAMBAR ATAS: Think City.
Oleh Zainal AS Rashid
SEBAGAI antara usaha untuk memupuk dan menarik minat orang ramai terhadap seni dan budaya di Kuala Lumpur, Pentas Seni Merdeka mengorak langkah sulungnya pada 16 Julai lepas.
Inisiatif percuma bulanan yang diusahakan oleh Think City dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ini diadakan di sepanjang Jalan Raja, Kuala Lumpur dengan penampilan tarian rakyat mengiringi persembahan Ronggeng Melayu oleh Pusat Penyelidikan Seni Nusantara.
Kehadiran Artis Budaya dan Kombo Budaya DBKL yang turut membuat persembahan menambahkan seri suasana hiburan tradisional itu.
Pentas Seni Merdeka yang merupakan inisiatif penggunaan sepenuhnya ruang awam, menonjolkan peranan kandungan kreatif dan budaya dalam usaha untuk mengayakan aset tarikan di ibu kota.
Pentas Seni Merdeka akan diadakan di sepanjang Jalan Raja di ibu negara pada setiap Sabtu kedua setiap bulan.
Dengan berlatarbelakangkan Bangunan Sultan Abdul Samad, Pentas Bandaraya dan Bangunan Mahkamah Tinggi, persembahan kebudayaan, bengkel dan aktiviti mesra keluarga ini pastinya akan menghidupkan suasana malam di presint bersejarah Kuala Lumpur itu.
Acara Pentas Seni Merdeka seterusnya akan berlangsung pada 10 Sept, dengan edisi berikutnya pada 8 Oktober, 12 November dan 10 Disember. Setiap edisi akan memberi penekanan kepada bentuk seni tradisional berbeza bersama aktiviti kebudayaan sampingan.
-BTS Media