BTS Media

Negara Arab dan Islam kecam kenyataan duta AS bahasa Israel berhak ke atas seluruh Timur Timur Tengah

BEBERAPA negara Arab dan Islam mengecam kenyataan Duta Amerika Syarikat (AS) ke Israel, Mike Huckabee, yang berkata bahawa Israel berhak mengambil seluruh kawasan Timur Tengah berdasarkan hak yang kononnya termaktub dalam Alkitab Ibrani Perjanjian Lama (Old Testament).

Huckabee yang juga bekas paderi Baptis dan penyokong tegar Israel, membuat kenyataan itu dalam podcast hos konservatif, Tucker Carlson.

Dalam episod yang disiarkan pada hari Jumaat lalu, Carlson membangkitkan tafsiran satu ayat daripada kitab tersebut yang sering ditafsirkan sebagai memberikan hak kepada Israel ke atas wilayah antara Sungai Nil di Mesir dan Sungai Euphrates di Syria serta Iraq.

Sebagai respons, Huckabee berkata bahawa “tidak mengapa jika mereka mengambil semuanya.” Namun apabila diasak lanjut, beliau menegaskan bahawa Israel tidak meminta untuk mengambil keseluruhan wilayah tersebut dan menyifatkan kenyataannya sebagai bersifat andaian hiperbola.

Reaksi terhadap kenyataan itu memuncak pada hari Ahad apabila lebih banyak negara kerajaan Arab dan Islam, bersama tiga organisasi serantau utama, mengeluarkan kenyataan bersama yang menyifatkan komen diplomat AS itu sebagai berbahaya dan berunsur hasutan.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Luar Emiriah Arab Bersatu itu ditandatangani oleh Emiriah Arab Bersatu, Mesir, Jordan, Indonesia, Pakistan, Turkiye, Arab Saudi, Qatar, Kuwait, Oman, Bahrain, Lubnan, Syria dan Negara Palestin, selain Pertubuhan Kerjasama Islam, Liga Arab dan Majlis Kerjasama Teluk.

Menurut kenyataan tersebut, komen Huckabee itu bercanggah dengan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu serta usaha meredakan perang di Gaza dan membuka laluan politik ke arah penyelesaian menyeluruh.

Terdahulu, beberapa negara Arab turut mengeluarkan kecaman secara berasingan. Arab Saudi menyifatkan kenyataan itu sebagai melulu dan tidak bertanggungjawab, manakala Jordan menyifatkannya sebagai satu serangan terhadap kedaulatan negara-negara di rantau berkenaan.

Kuwait pula menganggapnya sebagai pelanggaran terang-terangan terhadap prinsip undang-undang antarabangsa, sementara Oman berpendapat kenyataan tersebut mengancam keamanan dan kestabilan serantau.

Kementerian Luar Mesir turut menegaskan semula bahawa Israel tidak mempunyai kedaulatan ke atas wilayah Palestin yang diduduki atau mana-mana tanah Arab lain.

Sementara itu, Pihak Berkuasa Palestin dalam kenyataan di platform X berkata bahawa kata-kata Huckabee bercanggah dengan pendirian Presiden AS, Donald Trump, yang menolak pengilhakan Tebing Barat oleh Israel.

Pada hari Sabtu, Huckabee memuat naik dua hantaran di platform sama bagi menjelaskan pendiriannya berhubung isu lain yang disentuh dalam wawancara tersebut, namun tidak menyentuh kenyataannya mengenai tafsiran ayat kitab suci itu.

Dalam perkembangan berkaitan, Speaker Parlimen Israel, Amir Ohana, memuji pendirian pro-Israel Huckabee dalam wawancara tersebut dan menuduh Carlson menyebarkan kepalsuan serta manipulasi.

Carlson sebelum ini turut berdepan tuduhan anti-yahudi susulan wawancara panjang tanpa kritikan bersama aktivis nasionalis kulit putih, Nick Fuentes, yang pernah memuji Hitler, menafikan Holocaust dan menuduh Yahudi Amerika sebagai tidak setia.

-BTSMedia.my

Leave a Comment