GAMBAR ATAS: Sputnik.
Oleh Yusoff A. Shariff
PRESIDEN Rusia Vladimir Putin pada hari Selasa berkata bahawa konflik Israel-Gaza jelas menunjukkan “kegagalan” dasar Timur Tengah Washington.
Sehubungan itu, beliau menggesa supaya sebuah negara Palestin yang berdaulat dan merdeka diwujudkan.
Putin berkata demikian semasa pertemuan dengan Perdana Menteri Iraq Mohammed Shia al-Sudani di Moscow, beberapa hari selepas Hamas melancarkan serangan besar-besaran ke atas Israel, lapor AFP.
“Saya rasa ramai yang akan bersetuju bahawa apa yang berlaku sekarang adalah contoh jelas kegagalan politik AS di Timur Tengah,” kata Putin.
Beliau turut membangkitkan tentang “keperluan melaksanakan keputusan Majlis Keselamatan PBB mengenai pewujudan negara Palestin yang berdaulat dan merdeka.”
Putin berkata AS telah “cuba memonopoli usaha mengawal (konflik) tetapi, malangnya tidak pula mencari kompromi yang boleh diterima oleh kedua-dua pihak.”
Negara-negara Barat “tidak mempedulikan kepentingan asas rakyat Palestin,” katanya.
Sehari sebelum itu, Menteri Luar Rusia Sergei Lavrov berkata pewujudan negara Palestin adalah penyelesaian yang paling baik untuk keamanan di Israel.
Awal semalam Kremlin berkata lawatan Presiden Palestin Mahmud Abbas ke Moscow, yang dirancang sebelum serangan Hamas ke atas Israel, telah dirancang tetapi tidak menetapkan tarikh.
Moscow turut menyatakan kebimbangan bahawa kemungkinan ada kuasa asing yang akan membabitkan diri dalam konflik tersebut berikutan tindakan AS menempatkan kapal perang berhampiran sekutunya, Israel.
-BTS Media