BTS Media

AS kerah pindahkan kelengkapan tentera dari pangkalan Timur Tengah

TENTERA Amerika Syarikat mula memindahkan pesawat dan kapal dari pangkalan di Timur Tengah yang mungkin terdedah kepada sebarang kemungkinan serangan Iran.

Pergerakan ini berlaku ketika Presiden Donald Trump terus menimbulkan tanda tanya sama ada Amerika Syarikat akan membantu Israel mengebom tapak nuklear dan peluru berpandu Iran.

Sementara itu, pada hari Khamis, kedutaan AS di Qatar telah mengeluarkan arahan menyekat kakitangannya daripada mengunjungi Pangkalan Udara Al Udeid, di padang pasir luar Doha, yang merupakan pangkalan tentera udara AS terbesar di Timur Tengah,

Kedutaan tersebut memberitahu kakitangan dan warga AS di Qatar agar lebih berjaga-jaga memandang keadaan semakin meruncing di rantau itu.

Reuters memetik kedua-dua pegawai AS tersebut, yang enggan nama mereka disiarkan, bahawa pergerakan pesawat dan kapal itu adalah sebahagian daripada rancangan untuk melindungi pasukan AS, tetapi enggan menyatakan berapa banyak yang telah dipindahkan dan ke mana.

Salah seorang pegawai berkata pesawat tidak berada di tempat perlindungan yang diperkukuh telah dipindahkan dari pangkalan Al Udeid dan kapal-kapal tentera laut pula dipindahkan dari pelabuhan di Bahrain, di mana armada ke-5 tentera Amerika ditempatkan.

Sebelum ini, Reuters melaporkan pergerakan sejumlah besar pesawat tangki udara ke Eropah dan aset ketenteraan lain ke Timur Tengah, termasuk pengerahan lebih banyak jet pejuang.

Sebuah kapal induk di Indo-Pasifik juga sedang menuju ke Timur Tengah.

Israel melancarkan perang udara pada hari Jumaat atas alasan kononnya Iran sedang membangunkan senjata nuklear. Iran menafikan tuduhan itu.

Duta Besar Iran ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Geneva berkata pada hari Rabu bahawa Iran telah menyampaikan kepada Washington bahawa ia akan bertindak balas dengan tegas terhadap Amerika Syarikat jika negara tersebut terlibat secara langsung dalam kempen ketenteraan Israel.

-BTS Media

Leave a Comment