MAHKAMAH Agung Amerika Syarikat telah memutuskan bahawa Presiden Donald Trump melampaui kuasanya apabila beliau mengenakan tarif global secara menyeluruh tahun lalu.
Dalam keputusan 6-3, mahkamah tertinggi itu menyatakan bahawa Trump tidak boleh menggunakan undang-undang tahun 1977, iaitu International Emergency Economic Powers Act (IEEPA), untuk mengenakan cukai ke atas import dari hampir setiap negara di dunia.
Mahkamah juga membuka kemungkinan bahawa pengguna dan perniagaan boleh menerima bayaran balik daripada anggaran AS$130 bilion hasil yang dioeroleh daripada AS melalui tarif tersebut. Bagaimanapun, isu bayaran balik itu tidak diputuskan secara khusus dan dijangka menjadi perbahasan undang-undang seterusnya.
Beberapa jam selepas keputusan diumumkan, Trump menandatangani satu proklamasi menggunakan undang-undang alternatif, Seksyen 122 Akta Perdagangan 1974, yang membolehkannya mengenakan tarif sementara baharu sebanyak 10% ke atas barangan dari semua negara. Pada hari Sabtu, beliau memaklumkan di media sosial bahawa kadar tarif baharu itu akan dinaikkan kepada 15%.
Tarif yang didapati tidak sah dan alasannya
Keputusan Mahkamah Agung pada 20 Februari itu hanya melibatkan tarif dikenakan di bawah IEEPA, yang memberi kuasa kepada presiden untuk mengawal selia perdagangan sebagai respons kepada keadaan darurat.
Trump sebelum ini menggunakan peruntukan tersebut pada Februari 2025 untuk mengenakan cukai ke atas barangan dari China, Mexico dan Kanada, dengan alasan bahawa penyeludupan fentanyl dari negara-negara berkenaan merupakan satu kecemasan.
Beberapa bulan kemudian, dalam apa yang digelarnya sebagai “Hari Pembebasan”, beliau mengambil langkah lebih besar dengan mengenakan levi antara 10% hingga 50% ke atas barangan dari hampir seluruh dunia. Dalam kes itu, defisit perdagangan Amerika Syarikat, di mana import melebihi eksport, didakwa sebagai ancaman luar biasa dan tidak lazim.
Mahkamah berkata bahawa Kongres Amerika Syarikat, dan bukannya presiden, mempunyai kuasa untuk mewujudkan cukai baharu, manakala pengawalseliaan di bawah IEEPA tidak melibatkan penjanaan hasil.
Namun begitu, beberapa tarif lain yang dikenakan sepanjang tahun lalu sebenarnya tidak tertakluk kepada kecemasan yang diisytiharkan di bawah IEEPA dan boleh kekal berkuat kuasa walaupun selepas keputusan Mahkamah Agung.
Antaranya termasuk tarif khusus industri ke atas keluli, aluminium, kayu balak dan automotif, yang dikenakan di bawah Seksyen 232 Akta Pengembangan Perdagangan 1962 atas alasan keselamatan negara.
Tarif sementara baharu di bawah undang-undang berbeza
Susulan keputusan mahkamah itu, Trump mengeluarkan proklamasi untuk mengenakan tarif global sebanyak 10% ke atas hampir semua import ke Amerika Syarikat di bawah Seksyen 122, satu peruntukan yang sebelum ini tidak pernah digunakan.
Beliau kemudiannya berkata bahawa kadar tarif tersebut akan dinaikkan kepada 15%.
Seksyen 122 memberi kuasa kepada presiden untuk mengenakan tarif sehingga 15% bagi tempoh 150 hari, selepas itu Kongres perlu campur tangan.
Bagaimanapun, terdapat kemungkinan presiden boleh mengelak tindakan penglibatan penggubal undang-undang. Menurut Institut Cato, satu badan pemikir berhaluan kanan, Seksyen 122 tidak secara jelas melarang presiden daripada membiarkan tarif tamat selepas 150 hari sebelum mengisytiharkan kecemasan baharu untuk menguatkuasakannya semula.
Pihak White House berkata bahawa penggunaan Seksyen 122 adalah untuk menangani masalah asas pembayaran antarabangsa dan mengimbangi semula perdagangan Amerika. Pada masa sama, pentadbiran itu juga sedang meneliti sama ada tarif boleh dikenakan di bawah Seksyen 301 Akta Perdagangan 1974.
Undang-undang tersebut membolehkan Wakil Perdagangan Amerika Syarikat menyiasat amalan perdagangan negara lain dan mengenakan tarif sekiranya didapati wujud amalan yang bersifat diskriminasi atau tidak adil.
-BTSMedia.my



