HIMPUNAN “Tangkap Azam Baki” yang dipimpin bekas Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, mengingatkan kita kepada era awal demonstrasi jalanan Pakatan Harapan ketika menentang kerajaan terdahulu.
Dalam satu rencana rencana melalui akhbar The Star wartawan penganalisis politik Jocelyn Tan berkata, walaupun jumlah kehadiran tidak ramai, suasana perhimpunan itu disifatkan mempunyai tenaga Generasi Z yang jelas, dengan sebahagian besar peserta kelihatan berusia bawah 25 tahun. Rafizi dan beberapa pemimpin PKR antara yang paling berusia di lokasi tersebut.
Slogan pada plakad yang dibawa mencerminkan sentimen golongan muda, termasuk mesej mengenai integriti dan dakwaan bahawa pendedahan jenayah dianggap sebagai suatu kesalahan. Sasaran utama bantahan ialah Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, serta Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Para peserta menuntut supaya Azam meletakkan jawatan susulan dakwaan berkaitan pegangan saham beliau, di samping mempersoalkan pembelaan tegas Perdana Menteri terhadap Azam. Isu itu turut diperkukuh oleh laporan agensi berita antarabangsa Bloomberg yang mendakwa kewujudan “mafia korporat” melibatkan SPRM.
Kerajaan, menurut laporan tersebut, telah menubuhkan jawatankuasa khas yang diketuai Peguam Negara bagi menyiasat dakwaan berkenaan pelaburan saham Azam. Azam menafikan tuduhan itu dan menyatakan kesediaan untuk disiasat, selain mengambil tindakan undang-undang terhadap Bloomberg.
Mahkamah Khas Rasuah turut ditubuhkan bagi mempercepatkan pendengaran kes-kes rasuah berprofil tinggi, selari dengan komitmen Perdana Menteri dalam memerangi rasuah. Exco Selangor, Najwan Halimi, dipetik sebagai berkata bahawa Anwar konsisten memperjuangkan agenda antirasuah dan berani menyiasat tokoh-tokoh besar, termasuk dalam angkatan tentera.
Namun, laporan itu menyebut kerajaan perlu menangani tanggapan berhubung dakwaan “mafia korporat” bagi memastikan keyakinan pelabur tidak terjejas. Laporan berkenaan dikatakan mendapat perhatian dalam kalangan komuniti perniagaan dan golongan intelektual, serta menjadi perbualan hangat di media sosial dan turut dilaporkan media antarabangsa.
Dalam perkembangan berkaitan, Rafizi tiba-tiba berdepan dakwaan melibatkan kontrak kerajaan bernilai berbilion ringgit ketika beliau menjadi menteri. Beliau menolak tuduhan yang dianggapnya keterlaluan dan menjelaskan bahawa kementeriannya hanya berperanan dalam perancangan dan strategi, manakala urusan perolehan dikendalikan kementerian lain.
Beberapa pemimpin PKR yang menyertai himpunan itu termasuk Nik Nazmi Nik Ahmad (Setiawangsa), Wong Chen (Subang) dan Zahir Hassan (Wangsa Maju). Terdapat tanggapan bahawa mereka mungkin tidak akan dicalonkan dalam pilihan raya umum akan datang, sekali mungkin berdepan tindakan lebih serius.
Seorang pemimpin PKR dari Perak berkata bahawa Perdana Menteri boleh menerima kritikan daripada pihak lawan, namun keadaan kali ini berbeza apabila teguran datang daripada rakan sendiri.
Azam telah melalui tiga pentadbiran berbeza dan kontraknya diperbaharui beberapa kali. Laporan itu menyatakan bahawa keadaan tersebut dilihat memalukan bagi Rafizi, yang sebelum ini pernah berikrar akan menyingkirkan Azam jika Pakatan memerintah.
Rafizi turut menolak label bahawa beliau gemar “menggigit”, dengan menegaskan bahawa tindakan lantangnya selama dua dekad lalu antara faktor yang membantu perubahan politik sehingga Anwar menjadi Perdana Menteri.
Menurut seorang menteri Kabinet yang enggan dikenali, isu tersebut mungkin tidak menjejaskan agenda antirasuah Perdana Menteri, namun ia mencetuskan perbincangan yang mudah melarat.
Laporan itu menyimpulkan bahawa walaupun Rafizi kini dilihat berada di pinggiran politik, beliau kembali mendapat perhatian awam kerana berani mencabar kepimpinan tertinggi, dan dilihat tidak menunjukkan tanda-tanda untuk mengalah.
-BTSMedia.my



