AHLI Parlimen Pandan, Rafizi Ramli, menegur Perdana Menteri Anwar Ibrahim berhubung dasar antirasuah kerajaan, sesuatu yang dianggapnya sebagai punca utama kekalahan besar Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri Sabah pada 29 November lalu.
Beliau, yang juga bekas menteri ekonomi, berkata keputusan pilihan raya tersebut sudah memberikan “diagnosis awal” bahawa pengundi, khususnya golongan kelas menengah yang sebelum ini menjadi penyokong utama PH, semakin hilang keyakinan terhadap prestasi reformasi kerajaan.
Rafizi berkata data kaji selidik sejak tahun 2024 berulang kali menunjukkan kebimbangan terhadap usaha memerangi rasuah menjadi kritikan paling konsisten terhadap kerajaan Madani.
Beliau berkata walaupun laungan dan retorik usaha pencegahan rasuah sering diketengahkan, rakyat masih belum merasai kesannya, selain statistik sabitan rasuah yang menunjukkan penurunan.
Beliau merujuk angka penurunan peratusan pertuduhan berbanding kertas siasatan, iaitu daripada 56 peratus pada tahun 2020 kepada 39 peratus pada tahun 2024, manakala jumlah sabitan bersalah turut dikatakan menyusut daripada 300 kes (36 peratus) pada tahun 2021 kepada 256 kes (22 peratus) pada tahun lalu.
Rafizi juga menyentuh mengenai beberapa kes berprofil tinggi yang berakhir dengan DNAA, digugurkan, atau dilepaskan selepas pembayaran kompaun.
Selain itu, beliau mempersoalkan jawapan kerajaan terhadap soalannya di Parlimen mengenai kedudukan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki.
Bagi beliau, jawapan kerajaan dianggapnya “kabur”, sama seperti isu sokongan melibatkan bekas setiausaha politik perdana menteri.
Dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said, menjelaskan bahawa soalan Rafizi tidak dijawab kerana tertakluk kepada Peraturan Mesyuarat 23(1)(h), yang menyatakan soalan berbentuk spekulatif mengenai rancangan masa depan tidak sesuai dijawab.
Rafizi, yang juga bekas timbalan presiden PKR, menegaskan bahawa isu sambungan kontrak Azam Baki bukan sekadar soal pentadbiran, tetapi ukuran komitmen sebenar kerajaan dalam memerangi rasuah.
Beliau merujuk kemungkinan kontrak itu disambung untuk kali keempat, sesuatu yang dikatakan akan terus mencemarkan imej PKR dan PH sebagai parti yang tegas menentang rasuah.
Beliau berkata sudah tiba masanya kontrak tersebut tidak diteruskan, mengambil kira pelbagai kontroversi yang dikaitkan dengan tokoh berkenaan.
Mengenai langkah segera PH selepas kekalahan di Sabah, Rafizi berkata PH perlu memulihkan kredibiliti dalam isu antirasuah, termasuk dengan melantik ketua pesuruhjaya SPRM yang baharu.
Beliau juga mengakui suaranya mungkin tidak mencukupi untuk mendesak perubahan, dan mencadangkan agar pemimpin-pemimpin PH lain turut bersuara secara terbuka, termasuk Nurul Izzah, Anthony Loke dan DAP.
-BTSMedia.my



