SEORANG Pegawai Imigresen gred KP22 didakwa dengan 53 pertuduhan menerima suapan serta penggubahan wang haram dengan jumlah keseluruhan RM789,100 antara 2022 hingga 2024.
Tertuduh Mohamad Fazli Abdul Rahim, 46 mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan yang dibacakan di dua Mahkamah Sesyen berasingan, hari ini.
Mengikut 42 pertuduhan, Mohamad Fazli didakwa menerima suapan keseluruhan berjumlah RM510,500 menerusi pindahan wang ke sebuah akaun syarikat daripada akaun seorang lelaki warga asing.
Dia juga didakwa menerima suapan itu menerusi pindahan wang dari syarikat milik lelaki warga asing terbabit dan menerusi akaun seorang wanita tempatan sebagai upah melepaskan kemasukan warga asing tanpa mengikut prosedur yang ditetapkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu antara 4 Februari 2023 hingga 26 Ogos 2024 di dua cawangan bank di Subang Jaya dan Telok Panglima Garang, Kuala Langat.
Justeru, dia didakwa melakukan Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 Akta yang sama.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Hakim kemudian membenarkan tertuduh dijamin RM20,000 dengan syarat tambahan melaporkan diri ke Pejabat SPRM berdekatan sebulan sekali dan tidak menganggu saksi pendakwaan.
Di mahkamah sama, Mohamad Fazli turut mengaku tidak bersalah terhadap tujuh pertuduhan memindahkan wang keseluruhan berjumlah RM278,600 dari akaun sebuah syarikat ke akaun tiga individu lain yang juga hasil daripada aktiviti haram.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu antara 2 Julai 2022 hingga 19 Ogos 2024 di dua bank yang sama.
Justeru, dia melakukan kesalahan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan boleh didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh menggunakan ikat jamin berjumlah RM24,000 dengan dua penjamin seperti yang ditetapkan oleh Hakim Mahkamah Sesyen 2, Shah Alam.
Terdahulu, di Mahkamah Sesyen 2, Mohamad Fazli mengaku tidak bersalah terhadap empat pertuduhan menerima suapan berjumlah RM10,400 daripada seorang lelaki warga asing bagi kesalahan sama iaitu membenarkan kemasukan warga asing tanpa mengikut prosedur.
Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009 antara 6 hingga 17 Ogos 2023 di dua cawangan bank yang sama.
Sementara itu, isteri Mohamad Fazli, Suhana Ismail, 44 didakwa dengan tujuh pertuduhan menggunakan wang berjumlah keseluruhan RM125,850 bagi pembelian emas di dua kedai emas, hasil daripada aktiviti haram mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta 613 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) Akta yang sama.
Wanita berkenaan didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah bank di Telok Panglima Garang antara 12 Ogos 2023 hingga 27 Februari 2024.
Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud kemudian membenarkan Suhana dijamin RM40,000 dengan dua orang penjamin dan sebutan semula kes bagi pasangan suami isteri itu ditetapkan pada 10 Mac depan.
Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa SPRM, Muhammad Arif Asyraf Mohd Khairi dan Mohd Alimi Mustapha manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Mohamad Zahid Ahmad.
-Berita Harian



