BTS Media

Soalan wartawan dalam sesi George Galloway di Kuala Lumpur cetus kemarahan

SOALAN yang diajukan oleh seorang wartawan berbangsa Cina dari portal berita Free Malaysia Today (FMT) kepada ahli politik British, George Galloway dalam sesi dialog semasa syarahan umum bertajuk ‘Gaza Exposes the Complicity of International Actors’ pada 12 Januari di Kuala Lumpur baru-baru ini amat mengecewakan.

Apa taknya, soalan dia bukan sekadar kurang tepat, tetapi menampakkan sangat kekurangan empati dan kefahaman sejarah dalam diri sendiri.

Apabila keadaan masyarakat Cina di Malaysia digambarkan seolah-olah sama dengan penderitaan rakyat Palestin di Gaza, ramai yang terasa terguris…bukan kerana isu tempatan tidak penting, tetapi kerana kesengsaraan Gaza adalah sesuatu yang sangat berbeza berbanding apa yang didakwanya berlaku di Malaysia.

Penduduk Palestin di Gaza hidup dalam keadaan yang sukar dibayangkan oleh kebanyakan kita: sekatan berpanjangan, serangan dahsyat daripada tentera Israel, kehilangan ahli keluarga, kemusnahan rumah, hospital dan sekolah, serta ketiadaan jaminan keselamatan asas. Laporan daripada badan antarabangsa dan pertubuhan kemanusiaan telah lama memperincikan realiti ini. Ia adalah krisis kemanusiaan yang dahsyat dan berlarutan, bukan perbandingan retorik.

Masyarakat Cina di Malaysia pula, tetap hidup dalam sebuah negara yang aman. Mereka mempunyai kewarganegaraan, keselamatan, kebebasan bergerak, peluang membina kehidupan, ruang untuk bersuara dan lebih penting lagi, mereka menguasai sebahagian besar ekonomi negara dari segi perniagaan, selain turut berperanan dalam kerajaan. Kesukaran ini wajar dibincangkan dengan jujur, tetapi dalam kerangka yang tepat dan beradab.

Apa yang menyedihkan ialah apabila penderitaan rakyat Palestin digunakan sebagai titik banding untuk menyuarakan kononnya penindasan serupa berlaku di negara sendiri. Solidariti yang tulen lahir daripada memahami konteks perbezaan, bukan dengan mencampuradukkan keadaan yang berbeza macam langit dan bumi.

Soalan yang diajukan oleh wartawan tersebut tidak lahir daripada kefahaman mendalam atau kematangan. Sebaliknya, ia memperlihatkan pandangan yang cetek, kurang maklumat, dan menilai realiti secara terpesong. Apabila dia pilih untuk menyamakan penderitaan hidup di bawah pengeboman dan sekatan ketenteraandi Gaza dengan rasa tidak puas hati orang Cina di Malaysia, nampak sangat menunjukkan minda yang keliru tentang skala dan konteks kesengsaraan manusia. Dari mana dia belajar semua ini?

Apa yang berlaku mencerminkan kegagalan wartawan berkenaan untuk memahami tanggungjawab asas seseorang wartawan.

-BTSMedia.my

Leave a Comment