BTS Media

Wartawan Reuters maut, wartawan AFP, Al Jazeera antara 6 cedera di selatan Lubnan

GAMBAR ATAS: Issam Abdallah.

 

Oleh Yusoff A. Shariff

SEORANG wartawan agensi berita antarabangsa Reuters terbunuh pada hari Jumaat dan enam lagi daripada AFP, Reuters dan Al Jazeera cedera ketika membuat liputan berita di selatan Lubnan, ketiga-tiga pertubuhan berita berkenaan mengesahkan.

Menurut salah seorang daripada wartawan AFP yang tercedera, sekumpulan wartawan dari beberapa media lain berada berhampiran perkampungan Alma al-Shaab, yang terletak dekat sempadan dengan Israel, apabila terperangkap dalam tembakan rentas sempadan.

Sumber tentera Lubnan memberitahu AFP bahawa serangan awal Israel itu adalah berikutan percubaan penyusupan oleh kumpulan pejuang Palestin dari sempadan Lubnan.

Gambar ihsan Associated Press menunjukkan jurukamera AFP Dylan Collins bercakap melalui telefon bimbitnya selepas cedera akibat tembakan Israel di kampung sempadan Alma al-Shaab dengan Israel di selatan Lubnan. –

 

“Kami amat sedih apabila mengetahui bahawa juruvideo kami, Issam Abdallah, terbunuh,” kata Reuters dalam satu kenyataan, sambil menambah dia “adalah sebahagian daripada kru Reuters di selatan Lubnan.”

Jurugambar AFP Christina Assi dan wartawan video AFP Dylan Collins sedang membuat liputan di kawasan tersebut semasa terperangkap dalam serangan. Mereka dibawa ke hospital di Tire untuk rawatan.

Dua lagi wartawan Reuters, “Thaer Al-Sudani dan Maher Nazeh juga mengalami kecederaan dan sedang mendapatkan rawatan,” kata Reuters.

Al Jazeera, yang mempertanggungjawabkan pihak Israel, berkata dua wartawan mereka, iaitu Carmen Joukhadar dan Elie Brakhya adalah antara yang cedera.”

“Kami memandang berat bahawa sekumpulan wartawan yang jelas mempamerkan tanda media telah terbunuh dan cedera semasa menjalankan tugas mereka,” kata pengarah berita global AFP Phil Chetwynd.

“Kami mengucapkan takziah kepada rakan-rakan kami di Reuters atas kematian Issam.

 -BTS Media

Leave a Comment