BEKAS wartawan penyiaran TV3, Zainal Abidin Shamsudin, 61, kini dirawat di Pusat Perubatan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (PPUIAM) Kuantan, Pahang akibat kanser usus.
Beliau yang juga dikenali sebagai Zainal ‘bouncer’ dalam kalangan rakan media seangkatan dimasukkan ke wad pembedahan pusat perubatan itu sejak 28 Oktober lalu bagi rawatan susulan.
Zainal berkata memberitahu BTS Media pada Jumaat bahawa kesihatannya mula merosot pada September 2019 dan hanya dimaklumkan menghidap kanser setelah menjalani pemeriksaan kesihatan di Hospital Seremban, Negeri Sembilan.
Semasa di Hospital Seremban pada 2019, pemeriksaan menunjukkan keadaan kanser sudah agak serius. Pembedahan yang kemudian dilakukan terpaksa dihentikan akibat serangan jantung.
Prosedur pembedahan kedua di PPUIAM yang dijalaninya pada 2021 didapati bahagian kanser tidak dapat dibuang kerana berisiko tinggi.
Dia dimasukkan semula ke Hospital itu sejak Oktober untuk pemantauan dan rawatan secara berterusan.
Zainal yang kini hilang sumber pendapatan sejak kanser dikesan berharap agar ada pihak yang sudi tampil untuk membantu meringankan bebannya masa ini.
Isterinya, Hamizah Johor yang juga bekas kakitangan TV3 adalah suri rumah sepenuh masa. Mereka mempunyai tiga anak, dua masih belajar di institusi pengajian tinggi awam, dan seorang menghidap autisme.
Zainal berkata Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memberikan bantuan RM350 sebulan sejak dia disahkan mengidap kanser dan hilang punca pencarian.
Mana-mana pihak yang ingin menyalurkan bantuan kepada Zainal dan keluarganya boleh menghubungi 019-913 5547. Sumbangan wang boleh dimasukkan ke akaun Zainal Abidin Bin Shamsudin, Maybank 106098339727
-BTS Media