BTS Media

Polis akan panggil lelaki dalam video rosakkan hiasan ‘kolam’ Deepavali di hospital

Oleh Zainal AS Rashid

POLIS akan memanggil seorang lelaki yang dilihat merosakkan hiasan ‘kolam’ Deepavali dalam klip video yang tular di media sosial baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Vijaya Rao Samachulu berkata, kejadian berlaku di Hospital Pakar KPJ Klang.

“Suspek kes ini akan dipanggil untuk memberikan keterangannya di ibu pejabat polis daerah Klang Utara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Vijaya berkata, satu laporan polis telah dibuat oleh ketua balai polis Bandar Baru Klang selepas video menjadi viral.

Tambahnya, polis menyiasat kes di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan kerana menyebabkan ketidakharmonian, perpecahan, atau perasaan permusuhan, kebencian atau niat jahat, atau menjejaskan pemeliharaan keharmonian atau perpaduan, atas alasan agama.

Pihak hospital telah mengeluarkan kenyataan mengesahkan video sepanjang 37 saat itu dan sedang menjalankan siasatan dalaman terhadap dakwaan bahawa pelaku adalah seorang kakitangan.

“KPJ Klang tidak membenarkan sebarang tindakan tidak hormat dalam kalangan kakitangannya dalam kawasan hospital,” katanya.

Tindakan lelaki dalam video itu mencetus kemarahan penganut Hindu di Malaysia yang menyambut Deepavali pada 24 Oktober baru-baru ini.

Hiasan ‘Kolam’ adalah tradisi biasa semasa perayaan Deepavali.

-BTS Media

Leave a Comment