BTS Media

Polis tahan dua individu rosakkan ‘kolam’ Deepavali di hospital swasta

POLIS menahan dua kakitangan sebuah hospital swasta di Klang kerana disyaki merosakkan satu hiasan ‘kolam’ sempena sambutan perayaan Deepavali di premis berkenaan.

Ketua Polis Daerah Klang Utara S Vijaya Rao memberitahu media bahawa kedua-dua individu itu ditahan setelah hadir di ibu pejabat polis daerah malam tadi.

Kedua-dua suspek masing-masing adalah yang merosakkan ‘kolam’ tersebut dan merakam video tindakan mereka.

Suspek berusia 20an dan 30an itu direman selama tiga hari bermula hari ini.

Semalam, tular video sepanjang 39 saat yang memaparkan seorang daripada suspek berpakaian lengkap Baju Melayu memijak hiasan itu lalu merosakkannya.

Tindakan mereka telah mencetuskan kemarahan orang ramai.

Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan kerana menyebabkan ketidakharmonian, perpecahan, atau perasaan permusuhan, kebencian atau niat jahat, atau menjejaskan pemeliharaan keharmonian atau perpaduan, atas alasan agama.

Jika didapati bersalah mereka boleh dikenakan hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum lima tahun.

Pihak hospital telah memulakan siasatan dalaman berhubung kejadian itu, dan memaklumkan bahawa tindakan tegas akan diambil sekiranya kakitangan mereka didapati bersalah.

-BTS Media

 

Leave a Comment