BTS Media

Polis lancar siasatan kes penemuan al-Quran dalam longkang

KUALA LUMPUR: Semua 13 naskhah al-Quran yang ditemukan dibuang dalam longkang berhampiran tasik di Jinjang, di sini petang semalam, sudah diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai, berkata hasil siasatan awal mendapati naskhah kitab suci itu dijumpai dalam longkang, dipercayai sengaja dibuang oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan kerana membinasakan apa-apa benda dipegang suci dengan tujuan untuk mengaibkan agama. Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 298A kanun sama kerana mendatangkan mudarat keharmonian ke atas agama,” katanya hari ini.

Terdahulu tular satu video menerusi aplikasi media sosial Tik Tok berkait penemuan al-Quran di sebuah longkang berhampiran Tasik Sri Murni, Jinjang.

Eng Lai berkata, kejadian dilaporkan kepada polis jam 6.30 petang semalam.

“Seorang wanita sedang memancing di longkang berhampiran tasik pada mulanya terlihat satu naskhah al-Quran terkeluar dari satu beg berwarna biru dalam longkang berkenaan.

“Dia kemudian meminta bantuan seorang pemancing lain untuk membawa naik beg berkenaan sebelum mendapati ada 13 naskhah Al-Quran dalam beg itu,” katanya.

Beh berkata, semua naskhah Al-Quran itu telah dibawa keluar dari tasik sebelum dihantar ke Masjid Annas, Kampung Selayang untuk disimpan dan kemudian diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut.

Baca lagi: https://www.bharian.com.my/berita/kes/2023/02/1066390/polis-lancar-siasatan-kes-penemuan-al-quran-dalam-longkang

Leave a Comment