BTS Media

Israel dakwa bunuh komander kanan Hizbullah dalam serangan di Beirut

ISRAEL berkata ia berjaya membunuh komander tertinggi kumpulan pejuang Hizbullah, Fuad Shukr dalam serangan udara di pinggir selatan ibu kota Lubnan, Beirut hari ini.

Menurut tentera Israel, mereka menyasarkan Fuad sebagai sebahagian daripada operasi pembunuhan pemimpin yang menyokong Hamas.

Hizbullah masih belum mengesahkan kematiannya, tetapi berkata Fuad berada di dalam bangunan yang disasarkan pada waktu itu, lapor BBC.

Israel memberi alasan kononnya beliau bertanggungjawab terhadap serangan roket ke atas Bukit Golan yang diduduki Israel pada hari Sabtu, dan mengorbankan 12 orang.

Hizbullah menafikan sebarang penglibatan dalam serangan itu.

Dalam satu kenyataan pada hari Rabu, Hizbullah berkata usaha di runtuhan bangunan di Daniyeh itu masih dijalankan. Ia berkata beberapa orang dilaporkan terbunuh .

Perdana Menteri Lubnan Najib Mikati mengutuk “pencerobohan Israel secara terang-terangan” itu.

Beliau menyifatkan serangan itu sebagai “tindakan jenayah” dalam “siri operasi agresif membunuh orang awam dalam pelanggaran undang-undang antarabangsa yang ketara dan jelas.”

Seorang pegawai Israel telah mengesahkan kepada CBS News bahawa Israel telah memberi notis kepada Amerika Syarikat mengenai serangannya di Beirut itu.

-BTS Media

Leave a Comment