SERANGAN pesawat pejuang Israel membunuh tiga orang di pelabuhan Yaman yang dikuasai pejuang Huothi di Hodeida.
Menurut sumber Houthi, ini berlaku selepas serangan maut menggunakan dron ke atas Tel Aviv.
Serangan ke atas pelabuhan penting itu, yang mencetuskan kebakaran besar dan kepulan asap hitam, adalah yang pertama dilakukan oleh Israel di Yaman.
Israel mendabik dada atas serangan itu kerana kononnya ia sebagai menebus darah rakyat Israel dalam serangan pejuang Houthi ke atas sasaran di Tel Aviv.
Menteri Pertahanan rejim Zionis Israel Yoav Gallant memberi amaran bahawa lebih banyak serangan akan dilakukan terhadap pejuang Houthi jika mereka masih berani menyerang Israel, lapor AFP.
Jurucakap tentera Israel Daniel Hagari berkata jet F-15 melakukan serangan itu, dan semuanya selamat kembali ke pangkalan.
Hagari menuduh pejuang Huothis menggunakan pelabuhan Hodeida “sebagai laluan bekalan utama untuk pemindahan senjata dari Iran… seperti (drone) yang digunakan dalam serangan pada hari Jumaat.”
Dalam satu kenyataan di media sosial, pegawai tertinggi Huothi Mohammed Abdulsalam berrkata Israel telah melakukan pencerobohan yang kejam terhadap Yaman.
Serangan itu menyasarkan “fasiliti penyimpanan bahan api dan loji kuasa” di Hodeida “untuk memberikan tekanan terhadap Yaman supaya berhenti menyokong rakyat Palestin dalam perang Gaza, katanya.
Rakaman yang disiarkan oleh televisyen Al-Masirah milik pejuang Houthi, menunjukkan mangsa dirawat di hospital, kebanyakannya mengalami kecederaan serius dan terbaring di atas pengusung di dalam bilik hospital yang penuh sesak.
Seorang lelaki yang ditemu bual berkata ramai yang cedera adalah pekerja pelabuhan.
Ahli biro politik pejuang Huothi Mohammed al-Bukhaiti segera berkata bahawa mereka akan membalas dendam atas serangan di Hodeida itu.
“Puak Zionis akan membayar harga mahal kerana menyasarkan kemudahan awam,” katanya dalam catatan di media sosial.
Sekutu pejuang Huothis Lubnan, Hizbullah turut memberi amaran bahawa serangan Israel ke atas Yaman itu menandakan bermulanya satu lagi fasa berbahaya sembilan bulan sejak perang Gaza tercetus.
-BTS Media