Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengumumkan penguatkuasaan Kod Perlindungan Kanak-Kanak (CPC) dan Kod Pengurangan Risiko (RMC) di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) bermula hari ini sebagai langkah memperkukuh keselamatan digital kanak-kanak di negara ini.
CPC mewajibkan penyedia perkhidmatan media sosial berlesen melaksanakan langkah keselamatan kanak-kanak dalam reka bentuk platform selain meningkatkan perlindungan bersesuaian mengikut umur bagi pengguna kanak-kanak dalam persekitaran digital negara.
Menurut MCMC, selaras dengan tanggungjawab statutori di bawah ONSA, penyedia perkhidmatan media sosial berlesen dikehendaki melaksanakan langkah perlindungan termasuk pengesahan umur pengguna berdasarkan had umur minimum 16 tahun.
MCMC berkata pengesahan umur itu perlu dibuat menggunakan rekod yang dikeluarkan kerajaan Malaysia atau rekod setara yang dikeluarkan pihak berkuasa kompeten luar negara yang diiktiraf kerajaan Malaysia.
Menurut MCMC, bermula 1 Jun 2026, hanya pengguna berumur 16 tahun dan ke atas dibenarkan mendaftar akaun serta mengakses mana-mana ciri perkhidmatan yang bersesuaian dengan umur mereka.
Bagi pengguna sedia ada, MCMC memaklumkan proses pengesahan umur akan dilaksanakan secara berperingkat dalam tempoh sehingga enam bulan oleh penyedia perkhidmatan media sosial berkaitan.
Dalam tempoh itu, pengguna sedia ada yang dikenal pasti berumur bawah 16 tahun akan diberikan tempoh sebulan untuk memuat turun atau memindahkan data mereka termasuk gambar dan video sebelum sebarang sekatan, penggantungan atau tindakan lain dikenakan oleh penyedia perkhidmatan media sosial berkaitan.
MCMC memaklumkan keperluan pengesahan umur itu terpakai kepada platform media sosial berlesen termasuk Facebook, Instagram, TikTok dan YouTube.
Menurut kenyataan itu, semua penyedia perkhidmatan media sosial berlesen digesa mematuhi sepenuhnya keperluan statutori di bawah CPC dan ONSA termasuk melaksanakan langkah pengesahan umur yang berkesan di platform masing-masing dalam tempoh ditetapkan.
MCMC turut menegaskan pihaknya memandang serius sebarang ketidakpatuhan terhadap keperluan berkenaan dan akan mengambil tindakan kawal selia serta penguatkuasaan sewajarnya selaras dengan undang-undang.
Mengenai RMC pula, MCMC memaklumkan kod itu melengkapkan langkah perlindungan sedia ada dengan mewajibkan penyedia perkhidmatan melaksanakan perlindungan secara berkesa, termasuk menjalankan penilaian risiko, memperkukuh penyederhanaan kandungan, menyediakan kawalan keselamatan pengguna serta meningkatkan akauntabiliti platform.
MCMC berkata pihaknya akan terus bekerjasama rapat dengan semua pihak berkepentingan, pemain industri dan masyarakat bagi mewujudkan persekitaran dalam talian yang lebih selamat dan bertanggungjawab.
Maklumat lanjut mengenai CPC dan RMC boleh dirujuk menerusi laman Soalan Lazim MCMC di https://mcmc.gov.my/en/onsa/resources/frequently-asked-questions dan https://www.mcmc.gov.my/en/onsa/under-16
-BTSMedia.my



