BTS Media

Tidak sepatutnya peguam kongsi prosiding mahkamah melalui media sosial

 

Oleh Yusoff A. Shariff

Peguam tidak seharusnya berkongsi butiran prosiding mahkamah melalui media sosial kerana tindakan itu melanggar etika profesional guaman.

Bagi peguam Haniff Khatri Abdulla, ini kerana peguam yang post butiran prosiding melalui media sosial boleh menjurus kepada penampilan gambaran tidak betul tentang kes yang dibicarakan hingga orang ramai mendapat maklumat tidak tepat.

Menurut beliau, oleh sebab perbicaraan hanya berjalan di mahkamah, maka ia tidak sepatutnya juga berlaku dalam media sosial.

Apabila peguam berbuat demikian orang ramai tidak seharusnya dipersalahkan kerana mengecam atau membuat komen melampau terhadap mahkamah dan proses undang-undang berikutan maklumat tidak lengkap yang dikongsi.

Haniff Khatri mengulas laporan polis yang dibuat terhadap salah seorang peguam yang mewakili pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali yang didakwa mengabaikan dan mendera seorang remaja Sindrom Down.

Bercakap pada forum dalam talian malam tadi, Haniff berkata beliau sentiasa enggan mengulas mengenai kes yang dikendalikannya ketika menyertai ceramah.

Laporan polis telah dibuat terhadap peguam Hafidzah Hassan kerana didakwa menghantar maklumat melalui tweet dan butiran periksa balas melibatkan Yasmin Nahar Mahmood, salah seorang saksi dalam kes mahkamah yang sedang berjalan.

Mengenai orang ramai memberikan komen mengenai keputusan mahkamah, Haniff berkata walaupun perlembagaan membenarkan kebebasan bersuara, namun mereka mesti mengambil kira had yang ditetapkan undang-undang.

Beliau berkata, orang ramai akan terdorong untuk membuat penilaian sendiri terhadap keputusan mahkamah berdasarkan maklumat dalam media sosial, walaupun tidak tepat atau tidak diperjelaskan tentang siasatan yang dijalankan dengan betul.

Haniff Khatri berkata demikian sebagai respons terhadap kekecohan orang ramai, termasuk berhubung hukuman penjara enam tahun dan denda RM6,000 ke atas Sam Ke Ting oleh Mahkamah Tinggi Johor Baru.

Beliau dihukum bersabit kesalahan “memandu melulu” hingga menyebabkan kematian lapan remaja menunggang ‘basikal lajak’ di Johor Bahru pada 2017.

-BTS Media

Leave a Comment