BTS Media

Angka kematian serangan Israel di penempatan pelarian Al-Mawasi meningkat kepada 90

GAMBAR: Anadolu

Oleh Yusoff A. Shariff

MENURUT Kementerian Kesihatan Gaza, setakat ini sekurang-kurangnya 90 orang terbunuh dan 300 cedera dalam serangan udara Israel ke atas ‘kem pelarian al-Mawasi, yang merupakan ‘zon selamat’ ditetapkan Israel sendiri.

Kerajaan Gaza berkata pada hari Sabtu bahawa Israel “menyebarkan berita palsu” kononnya menyasarkan pemimpin Hamas untuk mengalihkan perhatian daripada serangan mautnya ke atas kem Al-Mawasi, Khan Younis, di selatan Semenanjung Gaza, lapor Agensi Anadolu.

Israel mengamalkan “dasar pembohongan berulang kali sejak mula serangannya, dalam usaha untuk menutup kegagalan dan perlakuan jenayahnya terhadap orang awam dan pelarian, terutamanya dalam kalangan kanak-kanak dan wanita,” kata Pejabat Media Gaza dalam satu kenyataan.

Pejabat itu juga mengecam apa yang dianggap “penggunaan media pembohongan Israel, menyebarkan berita palsu, khabar angin, dan menipu dalam usaha untuk mengalihkan perhatian daripada jenayah berterusannya terhadap rakyat Palestin.”

Ia menganggap Israel dan AS “bertanggungjawab sepenuhnya terhadap pembunuhan beramai-ramai orang awam ini dan kerana menggunakan media untuk berbohong sebagai cara mengalihkan perhatian orang ramai daripada kebenaran dan digantikan dengan naratif palsu.”

Pejabat itu menyeru masyarakat antarabangsa, PBB, kumpulan antarabangsa, dan semua negara di dunia supaya menekan Israel dan AS “untuk menghentikan pembunuhan beramai-ramai dan pertumpahan darah yang berterusan di Semenanjung Gaza demi menyahihkan kewujudan negara haram Israel”

Laporan awal serangan pada pagi hari Sabtu itu berkata lebih 71 rakyat Palestin terbunuh dan 289 mengalami kecederaan.

Susulan serangan itu, akhbar harian Israel Hayom mendakwa, tanpa memberikan sebarang bukti, bahawa matlamat utama serangan udara itu adalah untuk membunuh Mohammed Deif, ketua komander Briged Al-Qassam, sayap bersenjata Hamas, tapi sebaliknya membunuh puluhan orang awam.

Radio Tentera Israel juga mendakwa bahawa serangan itu menyasarkan “tokoh penting”  Hamas, tanpa memaklumkan apa yang sebenarnya berlaku.

Serangan terbaharu ini merekodkan sekali lagi keingkaran Israel terhadap resolusi Majlis Keselamatan PBB yang menuntut gencatan senjata segera.

Kekejaman Israel diteruskan ke atas Gaza sejak serangan 7 Oktober tahun lalu oleh pejuang Palestin Hamas.

Lebih 38,000 rakyat Palestin terbunuh, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, dan lebih 88,000 cedera.

-BTS Media

Leave a Comment