MAHKAMAH Sesyen dimaklumkan hari ini bahawa Bung Moktar Radin dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan rasuah melibatkan wang RM2.8 juta selepas pihak pendakwaan memutuskan untuk tidak meneruskan prosiding terhadap bekas Ahli Parlimen Kinabatangan itu.
Menurut Timbalan Pendakwa Raya Law Chin Hou, keputusan tersebut dibuat susulan kematian tertuduh pada 5 Disember lalu. Beliau berkata, pendakwaan tidak berhasrat meneruskan kes terhadap Bung Moktar selaku tertuduh pertama mengikut Seksyen 254 Kanun Prosedur Jenayah.
Hakim Rosli Ahmad seterusnya memerintahkan supaya Bung Moktar, yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag dan bekas Pengerusi Bukan Eksekutif FELCRA, dilepas dan dibebaskan, selain mengarahkan wang jaminan RM100,000 serta pasportnya dikembalikan.
Sebelum ini, Bung Moktar berdepan tiga pertuduhan rasuah berkaitan kelulusan FELCRA untuk melabur RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual. Bagaimanapun, pendakwaan menolak representasi yang dikemukakan oleh balunya, Zizie Izette Abdul Samad, bagi menggugurkan tiga pertuduhan bersubahat melakukan kesalahan rasuah yang dihadapinya.
Mahkamah dimaklumkan bahawa kes terhadap Zizie Izette akan diteruskan dengan perbicaraan dijadualkan pada 5, 6 dan 12 Mac ini.
Dalam prosiding berkenaan, Bung Moktar diwakili peguam Ashok Athimulan manakala Zizie Izette diwakili peguam Teh See Khoon.
Untuk rekod, pada 3 Mei 2019, Bung Moktar didakwa atas dua pertuduhan secara rasuah memperoleh suapan wang tunai berjumlah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan FELCRA bagi pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual. Wang tersebut didakwa diterima daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad, Madhi Abdul Hamid, melalui isterinya serta akaun Public Islamic Treasures Growth Fund atas nama isterinya.
Kesalahan itu didakwa berlaku di sebuah cawangan bank di Taman Melawati antara 12.30 tengah hari hingga pukul 5 petang pada 12 Jun 2015 serta pada pukul 12.16 tengah hari, 19 Jun 2015. Bagi pertuduhan ketiga, beliau didakwa menerima RM337,500 daripada perunding unit amanah, Norhaili Ahmad Mokhtar, atas nama Zizie Izette pada 19 Jun 2015.
Kesemua pertuduhan dibuat mengikut Subseksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama jika sabit kesalahan.
Sementara itu, Zizie Izette masih berdepan tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung kes yang sama di lokasi, tarikh dan masa yang telah dinyatakan.
-BTSMedia.my



