BEKAS wartawan Free Malaysia Today (FMT), Rex Tan, ditahan polis kira-kira pukul 12.45 tengah malam selepas hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur.
Peguamnya, Rajsurian Pillai, memaklumkan bahawa Tan ditahan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan.
Menurut beliau, penahanan itu dibuat susulan satu soalan sensitif didakwa mengandungi unsur perkauman, yang dikemukakan semasa syarahan awam di Kuala Lumpur.
Kes tersebut kini disiasat oleh satu pasukan dari Bukit Aman.
Tan telah meletakkan jawatan daripada FMT pada hari Jumaat, sehari selepas dia membuat permohonan maaf berhubung soalan dibangkitkannya dalam syarahan tersebut, yang mencetuskan kemarahan awam.
Kejadian itu dikaitkan dengan satu syarahan bertajuk “Gaza Exposes the Complicity of International Actors” pada 12 Januari, yang menampilkan ahli politik pro- Palestine Britain, George Galloway, di mana soalan yang diajukan kemudiannya menerima kecaman meluas.
– BTSMedia.my



