BTS Media

Juruterbang pemilik jet ditahan ketika cuba berlepas ke Manila

EMPAT individu termasuk seorang juruterbang yang dipercayai mempunyai kaitan dengan syarikat pemilik sebuah jet persendirian ditahan di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang, hari ini, dalam perkembangan terbaharu siasatan cubaan menyeludup 521 kilogram (kg) methamphetamine dari Laos.

Mereka terdiri daripada juruterbang, pembantu juruterbang dan dua kru wanita yang ditahan ketika pesawat berkenaan sedang membuat persiapan untuk berlepas ke Manila.

Operasi bersepadu itu dijalankan di sebuah hangar lapangan terbang membabitkan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (MCBA), polis Petaling Jaya, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), petugas keselamatan penerbangan (AVSEC) serta Pegawai Kawalan Perjalanan Cawangan Khas (TCO).

Sumber berkata, juruterbang terbabit dipercayai pemilik syarikat yang memiliki kedua-dua pesawat yang ditahan di Subang hari ini dan jet persendirian dikaitkan dengan rampasan dadah dalam jumlah besar di Laos.

Menurut sumber, keempat-empat mereka sedang bersiap untuk berlepas apabila anggota penguat kuasa menyerbu masuk ke hangar berkenaan.

Tinjauan mendapati beberapa kenderaan tanpa tanda memasuki salah satu kawasan hangar lapangan terbang itu lewat pagi tadi.

Beberapa lelaki yang dipercayai anggota polis berpakaian preman dan membawa senjata api dilihat keluar dari kenderaan berkenaan sebelum memasuki hangar.

Sebuah kenderaan yang membawa Komander MCBA Pelabuhan Klang, Datuk Nik Ezanee Mohd Faisal, kemudian dilihat turut memasuki kawasan sama.

Sumber berkata, pesawat yang ditahan itu dikonfigurasikan untuk operasi pemindahan perubatan dan dilengkapi peralatan perubatan.

Pesawat berkenaan dipercayai dijadualkan terbang ke Manila bagi mengambil seorang pesakit sebelum membawa pesakit itu ke Jepun.

Dua kru wanita yang berada dalam pesawat pula dipercayai merupakan petugas perubatan.

Nik Ezanee ketika dihubungi mengesahkan tindakan penguatkuasaan dilakukan sebelum pesawat terbabit sempat berlepas.

Beliau berkata juruterbang, pembantu juruterbang dan dua kru berkenaan berada di dalam pesawat ketika serbuan dilakukan.

Keempat-empat mereka ditahan dalam operasi bersama MCBA, polis Petaling Jaya, JSJN, AVSEC dan TCO.

Kesemua mereka, katanya, akan diserahkan kepada JSJN untuk tindakan dan siasatan lanjut.

Penahanan hari ini merupakan perkembangan terbaharu dalam siasatan yang semakin melebar berhubung cubaan membawa keluar 521kg methamphetamine menggunakan sebuah jet persendirian dari Luang Prabang, Laos, ke Manila.

Pihak berkuasa Laos sebelum ini menahan 13 individu berhubung rampasan itu, termasuk seorang pegawai kedua pesawat berkenaan yang merupakan rakyat Malaysia.

Jet persendirian yang dikaitkan dengan kes berkenaan pada asalnya berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah ke Luang Prabang tanpa membawa sebarang kargo.

Pesawat itu kemudiannya dipercayai digunakan dalam cubaan membawa penghantaran dadah berkenaan dari Laos ke Filipina.

-BTSMedia.my

Leave a Comment