POLIS tidak menolak kemungkinan kebakaran di Baling sengaja dicetuskan.
Kejadian itu membabitkan sembilan rumah di antara 24 Dis dan 2 Jan.
Ketua polis daerah Baling Superintendan Azmi Mokhtar berkata siasatan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Kedah mengklasifikasikan kejadian sebagai kebakaran biasa, lapor NST.
“Dalam satu kes, kebakaran bermula dengan sebuah motosikal kira-kira pukul 3.30 pagi sebelum merebak ke rumah.”
Polis menyoal siasat 13 orang yang berada di lokasi kebakaran, dan lapan daripada mereka berusia 25 hingga 35 tahun ditahan bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dan mendatangkan kerosakan yang jika didapati bersalah berdepan hukuman penjara lima tahun, atau denda, atau kedua-duanya sekali.
Menurut Azmi, daripada lapan suspek, seorang disyaki terlibat dalam kes curi peti derma di sebuah masjid di Kuala Ketil, lima dipercayai pengguna dadah dan dua disyaki pengedar dadah.
Penduduk mengadakan solat hajat memohon perlindungan berikutan kejadian itu.
-BTS Media