LEMBAGA Tabung Haji (TH) menggantung sementara perkhidmatannya selepas mengesan aktiviti siber mencurigakan pada 7 Oktober sebagai langkah berjaga-jaga bagi melindungi kepentingan pendeposit.
TH memaklumkan pemantauan menyeluruh sedang dijalankan terhadap semua sistemnya sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh keselamatan siber, menyebabkan perkhidmatan kepada pendeposit terpaksa dihentikan buat sementara waktu.
Menurut TH, langkah itu diambil bagi memastikan keselamatan sistem serta melindungi simpanan dan kepentingan para pendeposit.
Dalam pada itu, TH bekerjasama dengan agensi berkaitan, termasuk Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dan CyberSecurity Malaysia, bagi menangani perkara berkenaan.
TH turut memberi jaminan bahawa simpanan dan data peribadi pendeposit kekal selamat dan dilindungi, sambil menegaskan keselamatan maklumat serta simpanan mereka sentiasa menjadi keutamaan.
Lembaga itu memohon maaf kepada pendeposit atas gangguan perkhidmatan yang berlaku dan memaklumkan perkembangan mengenai pemulihan perkhidmatan akan disiarkan melalui saluran rasmi TH.
Pendeposit yang mempunyai pertanyaan boleh menghubungi Pusat Perkhidmatan Pelanggan TH di talian 03-6207 1919.
-BTSMedia.my



