POLIS sedang memburu individu yang dipercayai membayar AS$49,500 (RM202,250) untuk menyewa sebuah jet persendirian bagi membawa 521 kilogram syabu dari Laos ke Filipina.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Hussein Omar Khan, berkata pihaknya sedang mengenal pasti individu yang membuat tempahan pesawat itu.
Menurutnya, pesawat tersebut telah dipintas pihak berkuasa Laos di Lapangan Terbang Antarabangsa Luang Prabang pada 1 Oktober lalu.
Siasatan mendapati pesawat berkenaan dimiliki sebuah syarikat penerbangan persendirian dari Malaysia yang mengendalikan dua jet untuk tujuan sewaan.
Hussein berkata siasatan kini turut menjurus kepada pihak yang membiayai tempahan pesawat terbabit bagi membawa dadah berkenaan.
-BTSMedia.my



