POLIS sedang mengesan beberapa individu terlibat dalam satu video tular memaparkan kejadian seorang lelaki dipukul sehingga mangsa mengalami kecederaan di pasar tani Padang Astaka Chukai, di sini pada Jumaat.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kemaman, Deputi Superintenden Wan Muhamad Ja’far berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 9.30 pagi dan hasil siasatan mendapati mangsa merupakan Orang Kurang Upaya (OKU) kategori ketidakupayaan mental yang terlanggar salah sebuah gerai jualan.
“Siasatan awal mendapati mangsa berumur 47 tahun itu yang menunggang motosikal telah memasuki kawasan tapak jualan pasar tani dan kemudian terlanggar salah sebuah gerai jualan menyebabkan barang jualan tumpah dan jatuh.
“Situasi itu telah mendorong beberapa individu memukul mangsa. Akibat kejadian itu, mangsa yang cedera telah dibawa ke Hospital Kemaman untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini pada Jumaat.
Justeru, Wan Muhamad berkata, pihak polis sedang mengesan beberapa individu yang terlibat dalam kejadian tersebut untuk siasatan lanjut.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian ini boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman di talian 09-859 2222.
“Kes disiasat di bawah seksyen 147 kanun keseksaan kerana merusuh,” katanya.
Pada Jumaat, tular video berdurasi 1 minit 52 saat yang memaparkan seorang lelaki telah dipukul oleh beberapa individu sehingga mangsa mengalami kecederaan di sebuah pasar tani.
Menerusi video itu, lelaki OKU tersebut dipukul dan disepak oleh beberapa individu dalam kejadian di sebuah pasar tani.