GAMBAR ATAS: Utusan.
BEBERAPA individu akan dipanggil membantu siasatan berhubung himpunan solidariti terhadap Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin di hadapan Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Khamis lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, mereka akan dipanggil segera untuk membantu siasatan.
“Perhimpunan solidariti yang dibuat di SPRM baru-baru ini, kertas siasatan sudah dibuka. Siasatan sedang dijalankan.
“Tentu sahaja ada pihak akan dipanggil untuk membantu siasatan kita dan apabila kertas siasatan dapat dilengkapkan, kita akan rujuk kertas siasatan itu ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Program Polis Kuala Lumpur bersama Komuniti, Town Hall sempena Hari Polis ke-216 ‘Keselamatan Jalan Raya: Isu Kesesakan Lalu lintas di Kuala Lumpur’ di KL Wellness City Gallery, di sini, hari ini.
Khamis lalu, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu dipanggil memberi keterangan mengenai siasatan Jana Wibawa serta kes berkaitan.
Muhyiddin kemudian dibenarkan pulang dengan jaminan SPRM dan keluar dari bangunan SPRM kira-kira pukul 8.20 malam.
Ahli Parlimen Pagoh itu menghadapi enam pertuduhan mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan Seksyen 4(1)b Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001. – UTUSAN