Oleh Fetty Rara
DUA lelaki ditahan kerana disyaki mengugut sekumpulan wartawan yang membuat liputan kempen seorang calon pilihan raya umum ke-15 (PRU15), di sebuah restoran di Seremban semalam.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, suspek berusia antara 30 hingga 40 tahun itu ditahan di Taman Seremban Selatan susulan laporan yang diterima pada kira-kira pukul 11.50 malam.
“Kedua-dua mereka dipercayai berada dalam keadaan mabuk dan mengugut wartawan untuk tidak membuat liputan media di situ. Seorang wartawan ditolak, dibaling dengan gelas, botol arak dan kasut.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan, iaitu membuat ugutan jenayah,” katanya dalam kenyataan.
Ahmad Dzaffir menasihatkan orang ramai supaya memberikan kerjasama kepada wakil parti yang berkempen dan wartawan yang membuat liputan bagi memastikan suasana pilihan raya berjalan lancar dan aman.
Beliau berkata polis akan bertindak tegas tanpa bertolak ansur terhadap mana-mana individu yang sengaja menggugat ketenteraman dan keselamatan awam.
Sementara itu, calon parti terbabit berkata, penyokong semua parti politik perlu berfikiran terbuka dan matang dan tidak melakukan sesuatu di luar batasan.
-BTS Media