GAMBAR: NSTP
KERAJAAN bercadang memperkenalkan gaji minimum RM2,500 sebulan bagi graduan dan pekerja separa mahir sebagai sebahagian daripada reformasi struktur gaji negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata langkah itu perlu bagi memastikan pendapatan pekerja lebih setimpal dengan kelayakan dan kemahiran mereka, memandangkan kadar gaji minimum sedia ada hanya menetapkan paras pendapatan asas pekerja.
Ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat hari ini, beliau menjelaskan bahawa gaji pekerja berkemahiran masih belum mencerminkan kelayakan yang dimiliki, sekali gus memerlukan penambahbaikan dalam struktur upah negara.
Dalam perkembangan berkaitan, Anwar turut menyambut baik komitmen syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk menaikkan penanda aras gaji kehidupan daripada RM3,100 kepada RM3,400 sebulan.
Pelarasan itu dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 230,000 pekerja.
Beliau berkata beberapa majikan dalam sektor utama, termasuk perbankan serta minyak dan gas, turut mengambil langkah menetapkan kadar gaji yang lebih bersesuaian.
Sehubungan itu, Anwar menggesa lebih banyak majikan sektor swasta mengikuti langkah berkenaan bagi memastikan pekerja menerima ganjaran yang lebih setimpal dengan kelayakan dan sumbangan mereka.
-BTSMedia.my



