Oleh Fetty Rara
PENGUATKUASAAN perintah gaji minimum RM1,500 bagi syarikat yang mempunyai kurang daripada lima pekerja kini ditunda ke 1 Julai 2023.
Perniagaan kecil pada mulanya dijadualkan mematuhi perintah itu pada 1 Jan.
Menteri Sumber Manusia V. Sivakumar berkata kerajaan menangguhkan penguatkuasaan kerana menjangkakan perniagaan akan menghadapi cabaran ekonomi dan kewangan tahun depan.
“Penangguhan pelaksanaan selama enam bulan lagi diharap akan memberi peluang kepada (pihak berkepentingan) untuk menyelaras dan mengimbangi kewangan mereka supaya syarikat yang mempunyai kurang daripada lima pekerja dapat memperoleh pemulihan ekonomi yang lebih baik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sivakumar berkata majikan lain yang tidak layak untuk penangguhan itu mesti membayar pekerja mereka gaji minimum.
Beliau berkata ini termasuk majikan yang mempunyai lima atau lebih pekerja serta mereka yang mempunyai perkhidmatan profesional di bawah Klasifikasi Standard Pekerjaan Malaysia (tanpa mengira bilangan pekerja yang mereka ada).
Golongan ini mesti membayar gaji minimum RM1,500, berkuat kuasa 1 Mei 2022. Sebelum itu, gaji minimum negara ialah RM1,200.
-BTS Media