Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) membidas majikan tertentu yang didakwa memotong elaun kakitangan dan faedah lain berikutan pelaksanaan gaji minimum baru RM1,500 yang berkuat kuasa bulan ini.
Dalam satu kenyataan hari ini, MTUC berkata tindakan sedemikian adalah satu pengkhianatan kepada usaha yang diambil kerajaan dalam menjaga golongan berpendapatan 40 peratus terbawah (B40).
“MTUC menerima aduan daripada pekerja bahawa syarikat telah memotong elaun, pengurangan faedah-faedah lain seperti pemotongan subsidi makanan kantin dan pengangkutan untuk mengurangkan kos berikutan kenaikan gaji minimum,” kata MTUC.
“MTUC ingin mengingatkan syarikat bahawa sebarang perubahan yang dibuat dalam syarikat sehingga pemotongan faedah pekerja sedia ada kerana gaji minimum adalah pengkhianatan kepada usaha kerajaan untuk meningkatkan pendapatan kumpulan B40,” katanya.
“Kami menggesa pekerja yang tidak dibayar gaji minimum baru atau mendapat faedah yang lebih rendah membuat laporan di ibu pejabat MTUC atau Jabatan Tenaga Kerja (JTK) terdekat untuk membolehkan tindakan diambil terhadap syarikat,” kata MTUC.
Kata MTUC, jabatan itu bukan sahaja perlu bertindak selepas menerima aduan daripada pekerja tetapi juga proaktif dan memeriksa semua syarikat untuk memastikan gaji minimum dibayar kepada kakitangan mereka.
“Kekurangan kakitangan di JTK untuk pemeriksaan bukan alasan untuk gaji minimum tidak dibayar kepada pekerja,” katanya.
Pada 27 April, kerajaan mewartakan pelaksanaan gaji minimum RM1,500, yang berkuat kuasa pada 1 Mei, bagi majikan yang mempunyai lima atau lebih pekerja serta majikan yang menjalankan aktiviti profesional yang diklasifikasikan di bawah Klasifikasi Standard Malaysia Pekerjaan (Masco) 2020.
Majikan yang mempunyai pekerja kurang daripada lima telah dikecualikan daripada pelaksanaan Perintah Gaji Minimum 2022 sehingga akhir tahun ini.
Bulan lalu, Persekutuan Pekilang Malaysia (FMM) membangkitkan kebimbangan bahawa kenaikan gaji minimum secara mendadak kepada RM1,500 boleh mengakibatkan peningkatan kos yang mendadak dan menjejaskan pemulihan perniagaan untuk 2022.