Oleh Fetty Rara
Kadar gaji minimum RM1,500 tidak akan terpakai kepada pembantu rumah.
Menurut Menteri Sumber Manusia M. Saravanan, bagaimana pun pekerja domestik dari Indonesia akan dibayar tidak kurang daripada kadar gaji minimum di negara ini.
Perkara tersebut dinyatakan dalam memorandum persefahaman (MOU) mengenai penggajian dan perlindungan pembantu rumah Indonesia (PDI) yang ditandatangani pada 1 April lalu.
Dalam kenyataan hari ini (Sabtu 30 April) beliau berkata memandangkan kadar gaji minimum baharu berkuat kuasa pada Ahad (1 Mei), pelaksanaan itu tidak akan ditangguhkan untuk mana-mana sektor atau pekerjaan kerana kerajaan telah membantu majikan dengan pakej bantuan Covid-19, seperti program subsidi gaji bagi mereka mengekalkan kakitangan.
Saravanan berkata ini bagi memastikan majikan mendapat manfaat daripada kenaikan gaji minimum.
Penguatkuasaan akan dijalankan oleh Jabatan Tenaga Kerja di Semenanjung Malaysia serta Sabah dan Sarawak, dan semua majikan digesa mematuhi pelaksanaannya.
Saravanan berkata kadar baharu ini munasabah dan akan memastikan kebajikan golongan berpendapatan rendah dijaga, sambil memberi manfaat kepada majikan berikutan peningkatan kuasa beli.
Majikan yang mempunyai lima atau lebih kakitangan dikehendaki melaksanakan gaji minimum di bawah peraturan Klasifikasi Standard Pekerjaan Malaysia (Masco) yang diterbitkan oleh Kementerian Sumber Manusia.
Kadar baharu ini, bagaimanapun, tidak akan dikenakan kepada majikan yang mempunyai pekerja kurang daripada lima, dan mereka boleh meneruskan kadar gaji minimum sebelum ini, iaitu RM1,200 sehingga akhir tahun.
Mereka hanya perlu mematuhi kadar baharu mulai 1 Jan. Kadar gaji minimum baharu diwartakan dalam Warta Persekutuan pada 27 April.
Sebelum ini Saravanan berkata gaji pekerja rumah dari Indonesia akan bermula dari RM1,200.
-BTS Media