BTS Media

Peruntukan STR dan Sara dinaikkan kepada RM16 bilion pada 2027

KERAJAAN akan meningkatkan peruntukan bagi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (Sara) kepada RM16 bilion pada tahun 2027 berbanding RM15 bilion tahun ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, semua penerima STR akan menerima bantuan Sara sehingga RM150 sebulan, bersamaan RM1,800 setahun.

Beliau berkata, langkah itu dijangka memanfaatkan sehingga sembilan juta penerima STR di seluruh negara.

Anwar yang juga Menteri Kewangan mengumumkan perkara itu ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat pada hari Jumaat.

Selain itu, kerajaan akan menyediakan lebih RM80 bilion bagi pelbagai bentuk subsidi, bantuan dan insentif tahun depan, termasuk anggaran RM40 bilion untuk subsidi bahan api.

Sebanyak RM3.3 bilion lagi akan diperuntukkan bagi menyalurkan bantuan menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Dalam perkembangan berkaitan, rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas yang bukan penerima STR turut akan menerima bantuan Sara Madani sebanyak RM100 sebanyak dua kali pada tahun depan.

Anwar berkata, bayaran pertama akan disalurkan sebelum Hari Raya Aidilfitri, manakala bayaran kedua akan diberikan menjelang sambutan Hari Kebangsaan Malaysia ke-70.

Menurutnya, bantuan itu dijangka memanfaatkan sehingga 13 juta rakyat Malaysia, termasuk golongan berpendapatan sederhana dalam kumpulan M40.

Kerajaan turut bersetuju memperluas penggunaan bantuan Sara bagi membolehkan penerima membeli hasil pertanian segar serta barangan makanan mudah rosak di pasar seluruh negara.

Anwar berkata, kemudahan itu membolehkan penerima menggunakan bantuan berkenaan untuk membeli barangan tersebut di 216 pasar tani dan pasar tamu di seluruh negara.

-BTSMedia.my

Leave a Comment