DR MAHATHIR Mohamad berkata Umno bakal “berkubur” pada PRU16 jika terus bekerjasama dengan DAP, merujuk keputusan PRK Kemaman yang menyaksikan undi diterima parti itu terus merosot.
Pada PRK Kemaman Sabtu lalu, PAS menerusi calonnya, Ahmad Samsuri Mokhtar mempertahankan kerusi Parlimen itu dengan majoriti 37,220 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.
Raja Affandi mendapat 27,778 undi, lebih rendah berbanding 38,535 undi diterima Ahmad Said pada PRU15.
“Kemaman menunjuk bahawa sokongan kepada Umno merosot lagi. Selagi Umno bersekongkol dengan DAP sokongan kepada Umno akan terus merosot.
“Dalam PRU16, Umno akan hapus sama sekali,” kata Mahathir dalam kenyataan.
Bekas perdana menteri berkata, pemisahan Umno daripada DAP antara usaha yang boleh menyelamatkan parti Melayu itu, selain kembali kepada perjuangan untuk bangsa, negara dan agama.
Katanya, pengundi muda ketika ini tidak lagi menyedari jasa dan peranan Umno memajukan negara daripada belenggu kemiskinan lampau.
“Pemimpin yang usang perlu digugurkan…dan masalah Melayu perlu diperjuangkan semula. Khusus berkenaan kemiskinan orang Melayu,” kata bekas presiden Umno.