Oleh Fetty Rara
Bayaran Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) dinaikkan bagi golongan B40, iaitu RM100 untuk isi rumah dan RM50 untuk yang bujang.
Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob berkata, sebanyak RM630 juta diperuntukkan bagi 8.6 juta penerima.
Beliau berkata kenaikan itu dibuat memandangkan peningkatan kos sara hidup dan harga barang makanan sekarang ini.
“Bayaran Fasa 2 BKM melibatkan peruntukan sebanyak RM1.11 bilion dan setiap penerima BKM menerima sehingga RM400 mengikut kategori kelayakan BKM masing-masing.
“Setiap penerima BKM bakal menerima sehingga RM500 mengikut kategori kelayakan BKM masing-masing. Bayaran bantuan tunai tambahan yang dibayar bersekali dengan bayaran Fasa 2 BKM melibatkan tambahan peruntukan sebanyak RM630 juta,” katanya semasa sidang media pada Rabu (22 Jun).
Dengan itu, penerima yang layak akan menerima bayaran secara berperingkat mulai 27 Jun membabitkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM1.74 bilion bagi BKM Fasa 2.
“Pembayaran ini juga bagi meringankan beban kewangan golongan B40, terutamanya bagi menyambut Aidiladha tidak lama lagi dan akan disalurkan seperti dijadualkan.
“Setakat ini, seramai 8.6 juta penerima BKM sudah diluluskan dengan isi rumah bakal menerima sehingga RM2,500, tahun ini. Bantuan ini adalah tertinggi yang pernah diberikan mana-mana kerajaan,” katanya.
-BTS Media