BTS Media

Pegawai imigresen disyaki salah laku kemasukan penumpang di KLIA

SEORANG pegawai imigresen didapati memasukkan butiran kemasukan seorang penumpang penerbangan ke dalam sistem MyIMMs tanpa kehadiran penumpang berkenaan di kaunter pemeriksaan di KLIA.

Menurut Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC), penemuan itu dibuat hasil siasatan terhadap dakwaan kegiatan “pasport terbang” di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 yang didakwa berlaku pada 2 Jun tahun lalu. Siasatan dijalankan mengikut Subseksyen 27(4) Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 (Akta 700).

Menurut kenyataan EAIC pada hari Isnin (19 Jan), siasatan mendapati pegawai berkenaan telah memasukkan maklumat kemasukan penumpang itu, termasuk butiran pasport, ke dalam sistem MyIMMs tanpa kehadiran penumpang di kaunter pada waktu transaksi dilakukan.

EAIC turut menjelaskan bahawa perbuatan itu melanggar garis panduan di bawah Sistem Pengurusan Kualiti Jabatan Imigresen, khususnya Prosedur/Garis Panduan Jabatan Imigresen PK(0)IM.H.03-02 yang dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Imigresen. Tindakan diklasifikasikan sebagai salah laku di bawah Perenggan 24(1)(f) Akta 700.

Susulan itu, hasil siasatan telah dirujuk kepada pihak berkuasa tatatertib Jabatan Imigresen Malaysia dengan syor agar tindakan tatatertib diambil terhadap pegawai terlibat. Cadangan tindakan berkenaan adalah di bawah Perenggan 4(2)(f) Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U.(A) 395/1993] berkaitan kelakuan tidak jujur atau tidak amanah, serta Perenggan 4(2)(g) berhubung sikap tidak bertanggungjawab.

-BTSMedia.my

Leave a Comment