Oleh Yusoff A. Shariff
TIADA laporan diterima oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung kenyataan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli yang didakwa mengugut Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
Dalam satu kenyataan, Menteri Dalam Negeri sementara, Datuk Seri Hamzah Zainudin menyifatkan kenyataan Rafizi itu suatu tindakan melulu.
“Setakat semalam (Khamis) tidak ada dimaklumkan kepada saya mengenai laporan polis tersebut,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.
Beliau berkata jika didapati melanggar undang-undang tiada siapa pun terkecuali.
“Sama ada pegawai tertinggi, pegawai rendah atau rakyat mahupun pemimpin mana-mana politik, kalau melakukan kesalahan kita akan ambil tindakan,” katanya.
Semasa Ceramah Mega PH di Johor Bahru pada Rabu lepas, Rafizi berkata tindakan akan diambil terhadap Azam dengan segera jika gabungan itu memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) Sabtu ini.
Beliau menyatakan demikian susulan serbuan ke atas pejabat syarikatnya, Invoke Solutions Sdn Bhd.
“Esok (hari ini) kita jumpa di mahkamah, lusa (Jumaat) satu hari lagi kempen, Sabtu kita mengundi. Lepas menang pilihan raya kami cari Azam Baki, Insya-ALLAH.
“Saya tahu Azam Baki tengok ni! Saya harap bila PH menang bila kami cari kamu, kamu jangan salahkan adik kamu sekali lagi,” katanya.
-BTS Media