KANAK-KANAK yang mengikuti kemasukan awal ke Tahun Satu pada usia enam tahun (5+) bagi sesi 2027 dijangka menamatkan pendidikan menengah atas lebih awal, iaitu pada usia 16 tahun.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan melalui dokumen Soalan Lazim (FAQ) bahawa murid dalam kategori tersebut tidak akan berada di Tahun Satu selama dua tahun, sebaliknya mengikuti struktur persekolahan sedia ada merangkumi enam tahun di sekolah rendah dan lima tahun di sekolah menengah.
Menurut kementerian, murid berkenaan akan menjalani tempoh pendidikan menengah selama lima tahun dan menamatkan peringkat menengah atas pada usia 16 tahun (15+), sebagaimana diperincikan oleh Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan KPM.
KPM turut menjelaskan bahawa kemasukan awal ke Tahun Satu adalah pilihan secara sukarela oleh ibu bapa dan tidak diwajibkan. Pelaksanaannya bergantung kepada tahap kesediaan kanak-kanak yang telah mengikuti prasekolah pada usia lima tahun serta melepasi saringan diagnostik yang ditetapkan.
Bagi memastikan mutu pembelajaran terpelihara, kementerian berkata Kurikulum Persekolahan tahun 2027 telah disesuaikan dengan tahap kognitif murid, termasuk mereka yang mungkin belum mengikuti prasekolah, supaya kemahiran asas dapat dikuasai dengan berkesan.
Dari segi prasarana, KPM merancang pembinaan bilik darjah tambahan menggunakan Sistem Binaan Berindustri (IBS) bagi memenuhi keperluan murid di seluruh negara. Bekalan guru juga akan dipastikan mencukupi melalui pelbagai saluran latihan, termasuk Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP), Program Diploma Pasca Siswazah Pendidikan (PDPP) serta pelantikan secara Kontrak Perkhidmatan (COS).
Dasar kemasukan awal itu adalah sebahagian daripada fleksibiliti sistem pendidikan negara, yang bertujuan memberi peluang kepada kanak-kanak mencapai tahap kesediaan akademik lebih awal untuk memulakan persekolahan formal sebelum usia lazim tujuh tahun.
-BTSMedia.my



