BTS Media

Penyanyi M. Daud Kilau meninggal dunia pada usia 85 tahun

Oleh Yusoff A. Shariff

 

PENYANYI M. Daud Kilau meninggal dunia pada 4.46 petang Isnin (18 Dis) di Hospital Teluk Intan, Perak. Beliau berusia 85 tahun.

Berita pemergiannya disahkan anaknya, Ahmad Zaini Mohd Daud, 52, kepada portal berita mStar .

Ahmad Zaini berkata, kesihatan bapanya tidak stabil sejak dimasukkan ke hospital pada 12 Dis lalu.

Beliau berkata, ayahnya menghidap kencing manis, darah tinggi serta masalah jantung, dan baru-baru ini dimasukkan ke hospital.

“Sejak tiga hari lalu, keadaannya semakin teruk,” katanya ketika dihubungi akhbar tersebut.

Menurut Ahmad Zaini, doktor sepatutnya melakukan pembedahan untuk memotong kedua-dua belah kakinya tetapi prosedur itu tidak dapat dilakukan kerana tekanan darah yang tidak stabil.

Katanya lagi, sebelum ini pembedahan terpaksa ditangguhkan selama tiga kali kerana masalah sama.

Jenazah penyanyi itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Balai Baroh di Bagan Datuk, Perak, selepas solat Zohor pada hari Selasa (19 Dis).

Muhammad Daud Kilau dilahirkan pada 10 Julai 1938, dan mula aktif dalam industri hiburan pada tahun 1968 selepas memenangi pertandingan Bintang Radio di Singapura.

Beliau yang terkenal dengan gelaran “Raja Gelek” begitu popular dengan lagu-lagu, termasuk ‘Gila Judi’, ‘Biar Papa Asal Bergaya’, dan ‘Cek Mek Molek’.

Lagu terakhir beliau bersama penyanyi Ezlynn, ‘Pening’  dirakam pada tahun.

Tiga tahun lalu, beliau menjalani pembedahan angioplasti di Institut Jantung Negara (IJN).

Beliau meninggalkan seorang isteri ,Rohani Awang Ngah dan seorang anak lelaki.

-BTS Media

Leave a Comment