Oleh Fetty Rara
COOLIO, penyanyi rap yang merupakan antara nama terbesar hip-hop pada tahun 1990-an dengan hits termasuk “Gangsta’s Paradise” dan “Fantastic Voyage,” telah meninggal pada usia 59 tahun, kata pengurusnya.
Penyanyi yang berusia 59 tahun itu meninggal dunia di rumah seorang rakannya di Los Angeles, kata Jarez Posey kepada clickorlando.com.
Punca kematian masih belum diketahui.
Coolio memenangi Grammy untuk persembahan rap solo terbaik dengan “Gangsta’s Paradise”, lagu hit 1995 dalam filem lakonan Michelle Pfeiffer “Dangerous Minds” yang mencontohi lagu Stevie Wonder pada 1976, “Pastime Paradise”.
Dia memenangi Grammy semasa kemuncak popularitinya pada 1996 apabila tercetus pertelingkahan antara komuniti hip-hop Amerika Syarikat yang menyaksikan kematian Tupac Shakur dan The Notorious B.I.G. tidak lama selepas itu. Bagaimana pun, Coolio berjaya mengelakkan daripada terheret ke dalam kancah konflik itu.
Coolio berkata anugerah Grammy yang diterimanya itu didedikasikan kepada seluruh komuniti hip-hop Amerika syarikat, sama ada di pantai barat mahu pun pantai timur sebagai simbol penyatuan penggiat genre tersebut.
Dilahirkan sebagai Artis Leon Ivey Jr., di Monessen, Pennsylvania, selatan Pittsburgh, Coolio kemudian berpindah ke Compton, California.
Dia menghabiskan masa remaja di California Utara kerana ibunya merasakan bahawa persekitaran bandar raya terlalu berbahaya.
Kariernya sebagai rapper telah menghasilkan jualan berjumlah 4.8 juta, dengan 978 juta “penstriman on-demand” lagu-lagunya.
-BTS Media