BTS Media

Tengku Ahmad Rithaudeen meninggal dunia, pada usia 94 tahun

Bekas Menteri Pertahanan Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail meninggal dunia di kediamannya di Jalan Duta, Kuala Lumpur pada 8.43 malam tadi (Jumaat 29 April) pada usia 94 tahun.

Menurut anak lelakinya Tengku Farith, ayahnya diserang angin ahmar dua minggu lalu dan dirawat di hospital swasta, lapor Bernama.

Tengku Farith berkata, jenazah ayahnya dibawa ke Masjid Wilayah Persekutuan di Jalan Duta pada pukul 8.30 pagi ini (Sabtu 30 April) untuk disembahyangkan.

Selain menjadi Menteri Pertahanan dari 1987 hingga 1990, beliau juga dilantik sebagai Menteri dengan Tugas Khas bagi membantu Tun Abdul Razak di Kementerian Luar pada 1973, dan kemudiannya dilantik sebagai Menteri Penerangan dan Tugas Khas pada 1974).

Tengku Ahmad Rithauddeen seterusnya dilantik sebagai Menteri Luar (1975), Menteri Perdagangan dan Industri (1981) sebelum kembali semula sebagai Menteri Luar (1984) dan Menteri Penerangan (1986).

Pada 1970, beliau pernah memegang jawatan sebagai Timbalan Menteri Pertahanan diikuti oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 1972.

Allahyarham adalah ahli UMNO dan pernah memegang beberapa jawatan dalam parti itu.

-BTS Media

Leave a Comment