PENULIS dan pengarah filem Azhari Mohd Zain, 50, meninggal pada Khamis (24 Nov) pukul 12.05 pagi, sembilan bulan selepas diserang angin ahmar.
Berita yang dikongsi oleh Persatuan Seniman Malaysia menyatakan bahawa Azhari meninggal dunia di rumahnya di Sunway Alam Suria, Shah Alam, Selangor.
Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Paip, Meru Klang pada pukul 10 pagi, Khamis, tambah kenyataan itu.
Lebih dikenali sebagai Zack dalam kalangan rakannya, Azhari memulakan karier dalam  industri perfileman Malaysia pada 2004 sebagai penulis dan penerbit.
Antara filemnya termasuk Tangkai Jering, Potret Mistik, Anak Mami Kembali, Nana Tanjung dan Duyung.
Beliau seterusnya mengarahkan filem seperti Jin Notti, 3 2 1 Cinta, Hantu Dalam Botol Kicap dan Zoo.
Selain menulis dan mengarah, Azhari juga pernah menjadi pensyarah di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Fakulti Filem, Teater dan Animasi.
Pada Februari 2022, Azhari berada dalam keadaan kritikal akibat pendarahan otak yang menyukarkan pergerakannya.
Menurut laporan mStar, dua bulan selepas strok, keadaan Azhari menunjukkan kemajuan dan beliau dibenarkan pulang.
Bagaimanapun, dilaporkan beliau terlantar di katil dan tidak boleh bercakap. Cara komunikasinya adalah melalui pergerakan kepalanya dan melalui mimik muka.
Azhari meninggalkan isteri dan tiga anaknya.
-BTS Media