Oleh Zainal AS Rashid
Tokoh pendidikan negara Tun Arshad Ayub, 93, meninggal dunia pada pukul 2.06 pagi Selasa (14 Jun).
Allahyarham sebelum ini dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) pada Selasa lalu kerana mengalami masalah kesihatan.
Tun Arshad yang merupakan pengarah pertama Institut Teknologi Mara (ITM/UITM) memegang jawatan itu dari 1967 hingga 1975, dan kini pro-canselornya.
Beliau juga diamanahkan dengan tanggungjawab sebagai timbalan Gabenor Bank Negara dan sebagai timbalan ketua pengarah Unit Perancang Ekonomi di Jabatan Perdana Menteri.
Dilahirkan di Muar, Johor, Tun Arshad juga pernah berkhidmat sebagai ketua setiausaha kementerian industri utama, kementerian pertanian dan kementerian tanah dan pembangunan wilayah. Beliau aktif dalam dunia perniagaan dan pernah menjadi ahli lembaga pengarah beberapa syarikat awam, serta badan berkanun.
Jenazah akan dibawa ke Masjid Kolej Islam Malaysia, Jalan Universiti, Petaling Jaya untuk disolatkan selepas solat zuhur, dan kemudian akan dibawa ke Makam DiRaja Selangor.
-BTS Media