RAKYAT Malaysia yang tinggal secara sah di Minnesota, Amerika Syarikat, kini berasa cemas dan takut susulan peningkatan anggota Agensi Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam (ICE) yang bertindak semakin ganas.
Menurut laporan, seorang warga Malaysia berusia 30 tahun yang menetap di Minneapolis berkata rutin hariannya kini dipenuhi kebimbangan, dan dia sentiasa perlu membawa bersama kad penduduk tetap serta terpaksa peka dengan persekitaran, takut ditahan dan diserbu oleh anggota ICE yang sengaja memprofilkan mereka yang bukan berkulit putih dan tidak bertutur dengan loghat Amerika. Setiap pergerakan perlu berhati-hati bagi mengelakkan perhatian tidak diingini, berikutan ketakutan terhadap penampilan dan kemungkinan diprofilkan oleh pihak berkuasa.
Wanita itu berkata hanya suaminya kini menguruskan kebanyakan perkara di luar rumah, sementara dia berasa lebih bimbang berbanding sebelum ini. Dia mengaku pernah ditahan ICE untuk pemeriksaan.
Dia berkata, sekarang dia sentiasa mengikuti perkembangan di kawasan kediamannya mengenai aktiviti ICE. Menurutnya, rumahnya terletak berhampiran lokasi kejadian tembakan maut melibatkan ejen ICE baru-baru ini.
Di beberapa kawasan kejiranan di Minnesota sekarang, ibu bapa secara sukarela bergilir mengawal premis penjagaan kanak-kanak, dan memberi amaran awal kepada kakitangan jika ternampak pergeraka unit ICE, khususnya bagi melindungi pekerja yang berdepan kesukaran berbahasa.
Seorang lagi rakyat Malaysia berusia 35 tahun juga mengehadkan pergerakan di luar rumah susulan peningkatan operasi penguatkuasaan dan kejadian pembunuhan oleh anggota ICE. Dia berkata, tahap kewaspadaan yang tinggi setiap kali keluar amat perlu, dan setiap kali melihat kelibat anggota ICE, dirinya berasa panik dan cemas, walaupun dia bukan penjenayah.
Dalam pada itu, dia menasihatkan rakyat Malaysia yang merancang perjalanan ke Amerika Syarikat supaya berfikir masak-masak, dan bersedia menghadapi soal siasat rapi di lapangan terbang, serta membawa dokumen lengkap bersama salinan sandaran. Ini kerana walaupun semua dokumen lengkap dan status sah, tiada jaminan pihak ICE tidak akan bertindak agresif terhadap warga asing.
Seorang wanita Malaysia berusia 34 tahun yang telah menetap di Minneapolis selama 12 tahun berkata dia juga sentiasa membawa kad penduduk tetap ke mana-mana dan berasa tidak lagi selamat untuk keluar bersendirian, susulan kehadiran berterusan ICE di kawasan kejiranannya. Dia mempersoalkan dakwaan pentadbiran Trump mengenai pengurangan pegawai penguatkuasaan, memandangkan kehadiran anggota ICE di Minnesota masih tinggi.
Sementara itu, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Amerika Syarikat memaklumkan pada 4 Februari bahawa lebih 4,000 yang didakwa sebagai pendatang tanpa izin telah ditahan sejak operasi bermula di Minnesota. Anggaran
Kementerian Sumber Manusia Malaysia mencatatkan seramai 79,827 rakyat Malaysia tinggal di Amerika Syarikat setakat tahun 2022.
-BTSMedia.my



